DFSK Glory 580
DFSK melalui pengedar rasmi PT Sokonindo Automobile melancarkan pesaing terbaru segmen C SUV iaitu Glory 580.
Menariknya, Glory 580 ditawarkan dengan empat varian utama. Varian terendah ditawarkan dengan enjin 1.8 liter manakala varian selebihnya ditawarkan dengan enjin turbo 1.5 liter dengan pilihan transmisi CVT dan manual dengan enam nisbah kelajuan!
SUV dengan tujuh tempat duduk itu tidak kalah dengan penawaran ciri-ciri terkini seperti Electronic Parking Brake, penggunaan DRL dan skrin sentuh standard untuk semua varian.
Tambah menarik apabila harga SUV ini bakal diposisikan bersaing dengan SUV segmen B seperti Honda HR-V dan Toyota Rush.
PT Sokonindo Automobile mensasarkan penjualan Glory 580 ini bermula pada harga RP220 juta (RM62,000) sehingga Rp 350 juta (RM98,000).
Wuling Cortez 1.5
Wuling menawarkan sebuah MPV baharu yang dinamakan Cortez dikuasakan dengan enjin 1.5 liter menghasilkan 110 hp dan tork sebanyak 142 Nm.
Kuasa tersebut dipadankan dengan penggunaan kotak gear enam kelajuan sebelum disalurkan ke roda hadapan.
Model Cortez 1.5 ini merupakan varian terbaharu yang dilancarkan selepas varian Cortez 1.8 liter dan MPV Confero.
Wuling bakal memasarkan Cortez 1.5 ini pada harga bermula Rp 193 juta (RM54,300).
Bagaimana mereka mampu menguasai pasaran Indonesia?
Berdasarkan pembacaan ringkas melalui laman web automotif yang bertapak di Indonesia, terdapat beberapa perkara yang dirasakan penting untuk kita nilai.
Pertama, penawaran harga dan pakej yang sangat menarik dan kompetitif. Kedua, kehadiran rangkaian pengedar yang meluas di seluruh negara serta mutu servis selepas jualan.
Kedua-dua perkara itu sememangnya berkait rapat.
Pakej yang menarik sememangnya akan membantu menarik pelanggan untuk membeli sesuatu produk. Apatah lagi dengan penawaran seperti rebat, servis percuma, waranti tanpa batasan dan sebagainya.
Namun, disebalik penawaran itu, ia wajar diimbang kembali dengan faktor yang kedua, iaitu keberkesanan servis selepas jualan, faktor alat ganti yang tersedia, serta mutu khidmat layanan terhadap pelanggan. Kesemua faktor itu akan diambil kira oleh pelanggan untuk terus kekal setia dengan jenama tersebut.
Syarikat baru seperti DFSK dan Wuling mengambil inisiatif dengan memperbanyakkan lagi rangkaian pengedar kenderaan mereka serta pusat servis ke seluruh Indonesia bagi memberikan sokongan selepas jualan yang berterusan kepada pelanggan mereka.
Di samping itu, mereka juga turut mengambil kira faktor kesediaan alat ganti, dan juga memperkukuhkan khidmat teknikal serta komunikasi di antara pihak mereka dengan pelanggan bagi memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik.
Mungkin inilah sewajarnya difikirkan oleh segelintir pengeluar-pengeluar di Malaysia. Apa yang pasti, sudah tiba masanya untuk mereka bangkit melakukan sesuatu.
Sumber gambar: Oto.com