Jangkaan untuk model EV itu semakin meningkat sejak Xiaomi melancarkan kenderaan itu pada Disember dan mengumumkan ia menyasarkan untuk menjadi antara lima pembuat kereta terbaik dunia.
Jun mendedahkan syarikat itu memiliki teknologi yang mampu memberikan pecutan lebih baik daripada kereta Tesla dan EV Porsche.
Sejumlah 76 kedai Xiaomi di 29 bandar raya di China mula mempamerkan EV berkenaan pada Isnin, dengan bakal pelanggan dan penulis blog automotif beratur untuk melihat dengan lebih dekat versi 'biru laut'.
Xiaomi juga telah memuat naik aplikasi 'Xiaomi Car' ke kedai aplikasi China.
Di satu bilik pameran di Beijing, Jim Yan mengagumi reka bentuk SU7.
"Sama ada telefon Xiaomi atau kereta Xiaomi, reka bentuknya sangat asli, kata Yan, 28, yang bekerja dalam industri undang-undang.
Bagi Yan dan ramai lagi pengguna telefon pintar dan elektronik kediaman Xiaomi yang lebih murah, jenama itu telah meraih reputasi dalam memberikan nilai yang baik kepada pelanggan.
"Pendapat saya, harga Xiaomi adalah pada julat paling pertengahan. Jika harganya terlalu tinggi, terutamanya kerana ia adalah kereta pertama mereka, saya fikir ia masih perlu diuji oleh pasaran," kata Yan.
SU7 hadir dengan dua versi - iaitu versi dengan jarak pemanduan sehingga 668 kilometer (km) dengan sekali cas dan versi lagi dengan jarak pemanduan sehingga 800km.
Sebagai perbandingan, Model S Tesla menawarkan jarak pemanduan sehingga 650km.
Pengeluar telefon pintar kelima terbesar di China itu berusaha untuk mempelbagaikan perniagaan kepada EV, di tengah-tengah permintaan yang tidak stabil untuk telefon pintar - pelan yang pertama kali diketengahkan pada 2021.
Syarikat teknologi China lain yang telah bekerjasama dengan pembuat kereta untuk membangunkan EV termasuk gergasi telekomunikasi Huawei HWT.UL dan firma enjin carian Baidu.
Xiaomi mengumumkan peruntukan pelaburan AS$10 bilion (RM47.35 bilion) dalam automotif dalam tempoh sedekad dan menjadi antara beberapa peserta baharu dalam pasaran EV China yang menerima kelulusan daripada pengawal selia.
Kereta keluarannya dihasilkan oleh unit pengeluar kereta milik kerajaan, BAIC Group di kilang Beijing dengan kapasiti tahunan 200,000 kenderaan.