Subaru BRZ Series.Purple, 500 buah sahaja, warna unggu yang cantik

oleh Muhammad Md Tajudin|
Subaru BRZ Series.Purple 2025
Subaru BRZ Series.Purple 2025
Biasanya kereta berprestasi untuk pengguna kebanyakan ditawarkan dalam warna standard seperti hitam, putih, perak, kuning dan merah.

Kenapa tidak dalam warna yang jarang dibuat seperti biru laut, hijau daun pisang, oren matahari atau coklat? Ada tetapi jarang dan dikhususkan untuk edisi tertentu.

Sebagai contoh Subaru BRZ Series.Purple yang baru diperkenalkan untuk pelanggan di Amerika Syarikat (AS).

Series.Purple adalah edisi warna istimewa terbaru untuk BRZ dan berkilauan dalam warna Galaxy Purple Pearl.
Subaru BRZ Series.Purple 2025

 

Di antara edisi sebelum ini seperti BRZ Series.Yellow Special Edition, Series.HyperBlue dan Series.Blue.

Selain BRZ, Subaru juga tampil dengan WRX STI.Series White dan WRX STI.Series.Gray.

Warna badan yang cantik pada BRZ Series.Purple dipadan bersama rim aloi 18 inci dalam warna perak satin baharu. Logo BRZ di belakang berwarna hitam.

Seperti biasa, BRZ digerakkan enjin 2.4 liter Boxer yang menghasilkan 228 kuasa kuda dan dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan nisbah rapat.

 

Subaru BRZ Series.Purple 2025

 

Keluar dari kilang, BRZ dilengkapi sistem EyeSight, pembeza gelinciran terhad TORSEN® dan Kawalan Penstabilan Kenderaan dengan Track Mode dan Sport Mode.

Lagi kelengkapan seperti Bantuan Mula Mendaki, Kemasukan Tanpa Kunci dengan Butang Penghidup dan lampu besar LED dengan larasan tinggi automatik.

Turut dilengkapi Nyalaan Selamat Datang, kawalan penyaman udara dua zon automatik dan konsol tengah belakang dengan slot USB-A dan auxiliary.

Edisi ini diasaskan dari BRZ Limited dan lebih istimewa dilengkapi Pengesanan Titik Buta dengan Bantuan Pengekalan Lorong dan Peringatan Lintasan Lalu Lintas Belakang.

 

Subaru BRZ Series.Purple 2025

 

Lagi kelengkapan seperti Lampu Besar Mengikut Belokan, cermin sisi dengan pemanas, sistem audio dengan amplifier dua saluran dan tambahan dua pembesar suara.

Rim 18 inci dipadan bersama tayar Michelin® Pilot® Sport 4 musim panas dan untuk perlindungan dan keselamatan dilengkapi sistem berhubung STARLINK®.

Selain dikhususkan untuk pengguna di AS, tidak semua pelanggan di sana berpeluang kerana 500 buah BRZ Series.Purple sahaja dikeluarkan.

Harga yang ditawarkan ialah AS$35,445 (RM154,024) dan kereta ini cantik untuk diletakkan di lobi parkir pusat membeli-belah berbanding dibelasah di litar lumba.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Subaru BRZ Series.Purple 2025