
Hasil dari tumpuan kepada pelanggan AS diterjemahkan kepada siri Wilderness yang tampil lasak.
Terbaru Subaru memperkenalkan Forester Wilderness 2026 dan sekali pandang sudah mengundang untuk ke laluan lasak.
WRX untuk laluan berliku dan Forester Wilderness buat melenjan di laluan off-road. Itu cara Subaru berniaga di sana.
Sama seperti model biasa, Forester Wilderness digerakkan enjin 2.5 liter Boxer yang telah disemak semula dan menghasilkan 180 kuasa kuda (hp).

Daya kilas 241Nm tersedia pada rpm lebih rendah untuk kegerakbalasan.
Subaru turut menyemak semula kotak gear CVT Lineartronic® dan menggunakan nisbah akhir lebih singkat untuk keupayaan off-road pada kelajuan rendah.
Sistem X-MODE® Dual Mode dengan fungsi Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud menambah lagi keyakinan kepada pemandu.
Pacuan Symmetrical All-Wheel Drive yang turut dikongsi bersama Forester baharu juga diberi perhatian semula.

Penguncian pembeza tengah lebih pantas dan mengurangkan gelinciran roda di laluan off-road.
Sistem pacuan juga turut mengambil kira data sudut stereng untuk kestabilan lebih baik semasa membelok dan selekoh pada jalan berkelajuan tinggi.
Tayar Yokohama Geolandar dengan rim 17 inci ditugaskan untuk berhubung dengan permukaan jalan.
Pakej 2026 turut merangkumi sudut dakian lebih baik. Sudut pelepasan depan meningkat dari 19 darjah kepada 23.5 darjah.

Sudut tengah 21 darjah naik daripada 19.6 darjah dan sudut pelepasan belakang 25.5 darjah berbanding 24.6 darjah.
Pegas gegelung dan penyerap hentak lebih panjang menjadikan jarak kelegaan bumi bertambah sedikit kepada 9.3 inci atau 0.1 inci daripada model 2025.
Suspensi telah ditala untuk kestabilan dan keselesaan sama ada di atas jalan raya biasa atau laluan off-road.
Subaru Global Platform yang digunakan untuk model ini mempunyai ketegaran kilasan 10 peratus lebih tegar.

Peningkatan itu disumbang oleh binaan kerangka dalaman penuh baharu dengan teknik kimpalan lebih kuat dan tambahan pereka struktur dari 8 sehingga 27 meter.
Pembaharuan itu menyumbang kepada prestasi dinamik lebih baik, pemanduan lebih lancar dan kabin lebih senyap.
Bahagian dalam dilengkapi skrin 11.6 inci, pilihan skrin meter digital 12.3 inci, balutan bebas haiwan StarTex® dan riasan berwarna gangsa.
Dari segi penampilan, Forester Wilderness 2026 istimewa dengan rel bumbung, lampu kabus LED heksagon dan perlindungan bawah badan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
