Subaru Impreza 2023 untuk Jepun, enjin boxer dengan sistem hibrid!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Subaru Impreza ST-H AWD 2023
Subaru Impreza ST-H AWD 2023
Sedan segmen C pada hari ini terpaksa menyaingi kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dan C.

Bagi menangani cabaran itu Subaru tampil dengan hatchback dan crossover dan boleh dilihat pada Impreza hatchback dan Crosstrek (XV).

Tradisi model berprestasi Subaru masih diteruskan melalui sedan WRX dan wagon Levorg.

Subaru juga bersikap terbuka sebagai contoh Impreza baharu (GU) pasaran domestik Jepun (JDM) menggunakan enjin boxer hibrid (e-BOXER) dan pacuan roda depan (FWD).
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024
Subaru Impreza ST-G AWD 2023

Strategi itu dilihat bagus dari segi komersial dan pada masa sama mengekalkan warisan yang membentuk jenama Subaru.

Selain enjin boxer, satu lagi identiti utama Subaru ialah pacuan semua roda Symmetrical AWD.

Untuk pasaran JDM, Subaru membahagikan Impreza kepada tiga varian utama iaitu ST, ST-G dan ST-H dan pelanggan boleh memilih pacuan roda depan atau semua roda.

Kecuali Impreza ST, dua lagi varian menggunakan enjin 2.0 liter dengan e-BOXER. Ketiga-tiga varian dipadan bersama transmisi CVT Lineartronic.

 

Subaru Impreza ST-H AWD 2023

 

Satu faedah ketara pacuan roda depan ialah penggunaan bahan api yang ekonomikal.

Sebagai contoh, varian paling premium Impreza ST-H e-BOXER FWD mencatatkan penggunaan petrol 16.6 km/l berbanding 16.0 km/l pada model AWD (standard WLTC).

Varian asas Impreza ST 2.0 liter boxer (tanpa hibrid) pula pada kadar 13.6 km/l bagi pacuan AWD dan 14.0 km/l untuk pacuan FWD.

Seperkara yang menarik, varian asas ST lebih ringan dengan berat 1380 kg (FWD) dan 1420 kg (AWD) berbanding 1540 kg (FWD) dan 1580 kg (AWD) Impreza ST-H.

 

Subaru Impreza 2023

 

Dengan itu jelas mengapa Subaru mempelbagaikan rangkaian kuasa untuk Impreza. Pelanggan yang mahukan berprestasi pula diberi pilihan WRX dan Levorg.

Satu lagi perubahan pada model baharu Subaru ialah penggunaan skrin besar. Lihat pada papan pemuka dengan skrin tablet yang mendominasi ruang.

Corong penyaman udara disusun pada kanan dan kiri bagi memuatkan skrin tersebut.

Satu faedah bentangan tersebut ialah skrin tidak perlu 'ditenggekkan' di atas papan pemuka dan menghalang pemandangan pemandu.

 

Subaru Impreza 2023

 

Berkenaan harga, model asas Impreza ST dijual serendah 2.2 juta yen dan berikut senarai harga lengkap Subaru Impreza GU di Jepun:

  • Subaru Impreza ST 2.0 Boxer FWD 2,229,000 yen (RM74,176), AWD 2,519,000 yen (RM83,838)
  • Subaru Impreza ST-G 2.0 e-Boxer FWD 2,783,000 yen (RM92,614), AWD 3,003,000 yen (RM99,950)
  • Subaru Impreza ST-H 2.0 e-Boxer FWD 2,992,000 yen (RM99,584), AWD 3,212,000 yen (RM106,896)

Kepada yang berkenan, anda boleh memiliki 'Impreza' di bawah nama Crosstrek apabila dibawa masuk kelak.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Subaru Impreza ST-H AWD