SUV Kompak Serba Boleh
Subaru REX direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang selesa dalam pelbagai situasi sama ada di bandar atau aktiviti luar seperti berkhemah dan rekreasi.
Dengan pengenalan varian 4WD, model ini kini lebih versatil untuk pelanggan yang mahukan kestabilan dan keyakinan tambahan di pelbagai permukaan jalan.
Subaru terlebih dahulu memperkenalkan REX hibrid 2WD pada Julai.
Sistem Dinamik Pacuan Empat Roda
Model 4WD baharu ini menggunakan sistem Dynamic Torque Control 4WD.
Sistem secara automatik mengawal agihan daya pacuan antara gandar depan dan belakang bergantung pada keadaan jalan.
Dalam pemanduan biasa, sistem menyalurkan kuasa ke roda hadapan untuk mencapai kecekapan bahan api yang lebih baik.
Namun ketika memulakan pemanduan atau melalui jalan licin, kuasa dihantar ke roda belakang bagi mengekalkan cengkaman dan kestabilan optimum.
Enjin 1.0L Turbo Baharu
Buat pertama kali, REX 4WD dilengkapi enjin 1.0 liter 3-silinder DOHC 12-injap dengan pengecas turbo dan pendingin antara (intercooler).
REX hibrid 2WD pula menggunakan enjin 1.2 liter aspirasi normal.
Enjin 1.0 turbo dengan transmisi CVT menghasilkan 98 ps pada 6,000 rpm dan tork maksimum 140Nm antara 2,400 hingga 4,000 rpm.
Penggunaan bahan api pula direkodkan pada 17.4 km/L (kitaran WLTC) menggunakan petrol tanpa plumbum RON biasa.
Reka Bentuk dan Kelengkapan
Varian utama REX Z 4WD dilengkapi dengan rim aloi 17 inci dua tona serta kemasan dalaman yang lebih premium.
Bahagian stereng dan tombol gear dibalut kulit dengan hiasan perak, manakala perehat tangan pintu hadapan menggunakan bahan lembut berlapis kulit sintetik.
Bagi keselesaan ketika musim sejuk, REX 4WD dilengkapi kerusi denngan pemanas untuk pemandu dan penumpang depan.
Turut dilengkapi penyahbeku pengelap cermin hadapan, cermin sisi dengan pemanas dan pemanas tambahan dalam kabin.
Dimensi dan Spesifikasi
REX 4WD mengekalkan bentuk kompak dengan ukuran 3,995 mm panjang, 1,695 mm lebar dan 1,620 mm tinggi.
Berat keseluruhan ialah 1,040 kg untuk varian G dan 1,050 kg untuk varian Z, manakala saiz tayar masing-masing ialah 195/65R16 dan 195/60R17.
Harga dan Warna Badan
REX 4WD dijual dalam dua varian berikut:
- REX G 4WD berharga 2,187,900 yen (RM61,460, termasuk cukai 10%)
- REX Z 4WD berharga 2,511,300 yen (RM70,550, termasuk cukai 10%)
Pelanggan ditawarkan pelbagai warna seperti Shining White Pearl, Black Mica Metallic, Smooth Grey Mica Metallic, Fire Quartz Red Metallic dan Laser Blue Crystal Shine.
Pilihan dua tona pula seperti Black Mica Metallic × Shining White Pearl dan Black Mica Metallic × Smooth Grey Mica Metallic.
Subaru menetapkan sasaran jualan sebanyak 440 unit sebulan untuk semua varian REX.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
