Subaru Solterra 2026, rupa depan unik, jarak pemanduan bertambah!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Subaru Solterra EV 2026
Subaru Solterra EV 2026
Tidak lagi berkongsi rupa Toyota bZ4X, Subaru Solterra EV 2026 tampil dengan gaya tersendiri.

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2023, Solterra menerima peningkatan ketara dari segi prestasi pemanduan, kecekapan, rekaan serta keselesaan kabin.

Solterra 2026 dibekalkan motor hadapan dan belakang yang lebih berkuasa dengan gabungan output 233 kuasa kuda (hp).

Buat pertama kali, varian Solterra XT hadir dengan motor elektrik berkembar berkuasa tinggi yang menghasilkan 338 hp.
Subaru Solterra EV 2026

 

Pecutan dari 0 sehingga 96 kilometer sejam (km/j) mengambil masa kurang daripada lima saat.

Solterra dikuasakan bateri litium-ion 74.7 kilowatt-jam (kWj) dan boleh dipandu sekitar 459 kilometer (km), bertambah 25 peratus berbanding dahulu.

Pek bateri litium-ion berkapasiti tinggi ini boleh dicas dari 10 sehingga 80 peratus dalam masa kurang 35 minit dengan kelajuan sehingga kira-kira 150 kW.

Port pengecasan standard NACS membolehkan pemilik Subaru mengecas di lebih 15,000 stesen Tesla Supercharger di seluruh Amerika Utara.

 

Subaru Solterra EV 2026

 

Untuk pengecasan di rumah, Solterra boleh menggunakan pengecas Tahap 1 dan Tahap 2.

Dengan sistem prapemanas, bateri Solterra mampu mengekalkan suhu pengecasan optimum walaupun dalam cuaca sejuk.

Sistem pacuan semua roda baharu menyatukan output motor hadapan dan belakang secara bebas untuk prestasi pemanduan lebih baik di jalan raya dan off-road.

Motor hadapan dan belakang dikawal oleh pengawal yang telah dipertingkat.

 

Subaru Solterra EV 2026

 

Kawalan ini membolehkan output kuasa diagihkan dengan lebih fleksibel, sama ada di permukaan jalan yang kering atau basah.

Semua varian dilengkapi dengan sistem X-MODE® dwi-mod yang merangkumi mod Salji/Tanah dan Salji Lebat/Lumpur dengan kawalan cengkaman (Grip Control).

Turut dilengkapi Bantuan Kawalan Menuruni Bukit (Downhill Assist Control) untuk keyakinan pemanduan dalam keadaan cengkaman rendah atau di laluan lasak.

SUV ini menawarkan jarak kelegaan bumi setinggi 8.3 inci (211 mm), menjadikannya antara yang terbaik dalam kelas SUV elektrik kecil untuk pemanduan off-road tulen.

 

Subaru Solterra EV 2026

 

Penambahbaikan pada suspensi dan stereng kuasa elektrik telah dibuat untuk pengendalian dan tindak balas yang lebih baik.

Sistem kawalan pacuan semua roda baharu boleh meramalkan beban yang dikenakan pada tayar hadapan dan belakang.

Ia kemudiannya mengoptimumkan pengagihan kuasa dan suspensi untuk mengurangkan olengan dan lenggangan (sway). Hasilnya, pemanduan menjadi lebih terkawal dan selesa.

Dari segi reka bentuk, Solterra 2026 hadir dengan rupa tersendiri. Nampak pelik dan beginilah trend EV. Perubahan ini juga dialu-alukan kerana rupa Subaru sudah mudah dijangka.

 

Subaru Solterra EV 2026

 

Solterra 2026 hadir dengan identiti pencahayaan EV serba baharu, menampilkan logo enam bintang yang bercahaya bersama lampu utama dan bampar hadapan rekaan baru.

Dari sisi, warna pendakap yang sama dengan badan (untuk varian tertentu) menampakkan permukaan yang luas. Rim baharu bersaiz 20 dan 18 inci.

Di belakang, lencana, kemasan pintu belakang dan spoiler rekaan semula menyerlahkan pencahayaan waktu malam serta membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik.

Sama seperti bZ4X 2026, papan pemuka Solterra turut diganti baharu termasuk konsol tengah.

 

Subaru Solterra EV 2026

 

Skrin sentuh Subaru Multimedia 14 inci boleh dihubungkan dengan Apple CarPlay® dan Android Auto™ secara tanpa wayar.

Pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W untuk pemandu dan penumpang hadapan kini disediakan secara standard.

Sementara itu, port pengecasan USB-C berkuasa tinggi di bahagian belakang memastikan peranti kekal dicas semasa dalam perjalanan.

Dari segi keselamatan, Solterra dilengkapi rangkaian teknologi bantuan pemandu EyeSight®.

 

Subaru Solterra EV 2026


Antaranya Brek Pra-Pelanggaran, Amaran Trafik Silang Hadapan, Pemantauan Titik Buta, Amaran Keluar Lorong, Monitor Pandangan Panorama dan Bantuan Henti Kecemasan.

Sistem ini juga merangkumi Bantuan Henti Dalam Kesesakan, Bantuan Tukar Lorong, serta Kawalan Jelajah Adaptif Lanjutan.

Harga dan spesifikasi terperinci untuk Subaru Solterra 2026 akan diumumkan apabila ia mula dijual lewat tahun ini.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Subaru Solterra EV 2026