Subaru Track Day 2025 Gegar Sepang

oleh Qalif Latif|
Litar Sepang kembali bergema dengan deruman enjin boxer apabila ratusan pemilik dan peminat Subaru berhimpun untuk menyertai Subaru Track Day 2025, sebuah acara komuniti yang berjaya menyatukan pelbagai generasi model Subaru dalam satu perhimpunan penuh semangat dan adrenalin.

Subaru Track

Acara yang dianjurkan oleh Motor Image Malaysia, iaitu pengedar rasmi Subaru di Malaysia, bermula seawal jam 8 pagi dengan sesi pendaftaran peserta dan persiapan penaja. Motor Image ialah syarikat yang bertanggungjawab mengedarkan jenama Subaru di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Singapura.

Subaru Track
Yokohama turut hadir sebagai penaja Subaru Track Day 2025

Lebih 100 kenderaan Subaru membanjiri pit lane dan grid Litar Antarabangsa Sepang, daripada model moden seperti Subaru XV, BRZ, WRX dan Forester, hinggalah kepada model ikonik seperti Impreza GC8 dan WRX STi yang masih menjadi kegilaan ramai peminat jentera AWD.

Subaru track

Selain Subaru BRZ, Toyota 86 juga turut hadir ke Subaru Track Day tahun ini

Sesi paling dinanti, Parade Drive, berlangsung sekitar jam 12.30 tengah hari, di mana kesemua peserta memasuki litar untuk sesi bergambar dan pemanduan santai mengelilingi litar sepanjang 5.5 kilometer. Detik ini bukan sekadar untuk pameran, tetapi meraikan semangat setiakawan sesama pemilik Subaru.

Subaru Track

Acara diteruskan dengan pelbagai sesi trek termasuk Closed Time Attack, No Stress Session dan No Chill Session yang membenarkan peserta memandu secara individu untuk merasai sendiri keupayaan jentera mereka dalam keadaan kawalan terkawal. Turut diperkenalkan ialah sesi Immersive, yang memberi peluang kepada peserta untuk mendalami prestasi kereta mereka dengan lebih teknikal dalam suasana lebih bebas tekanan.

Keseluruhan acara disusun dengan rapi dan profesional, lengkap dengan taklimat keselamatan, sesi pendaftaran berjadual, serta pengurusan trek yang efisien. Malah, Motor Image turut menjalankan promosi khas kepada para pengunjung dan peserta yang hadir.

Subaru track

Jentera tajaan Motor Image, Yokohama dan penaja lain bawa pemilik Subaru dan Media merasai pemanduan kelajuan tinggi di litar SIC

Subaru Track Day 2025 membuktikan bahawa jenama ini bukan sekadar jenama automotif biasa, tetapi sebuah komuniti yang kuat, matang dan terus berkembang di Malaysia. Tidak hairanlah, acara ini kini menjadi antara perjumpaan tahunan yang dinanti-nantikan oleh peminat dan pemilik Subaru dari seluruh negara.

Acara ditutup sekitar jam 5.30 petang dengan majlis penyampaian hadiah di pit penaja, mengakhiri satu hari yang penuh pengalaman bermakna, persahabatan dan tentunya… bau getah terbakar yang takkan dilupakan.

Subaru track

Tidak ketinggalan Motor Image bawa unit pameran Subaru Outback XT yang baru memasuki pasaran Malaysia, unit pameran ini menjadi tarikan di ruang pit.