Subaru WRX Rally Car 2024 – jentera rali yang bakal dipandu oleh Travis Pastrana

oleh Mohamad Hanif|
Biarpun tidak lagi aktif di dalam sukan World Rally Championship, Subaru dilihat masih lagi memunculkan diri dalam acara berskala lebih kecil, seperti American Rally Association Championship.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Subaru Motorsports USA baru-baru ini memperlihatkan jentera ampuh yang bakal digunakan untuk musim 2024, dan ia bakal membuat kemunculan pertama di acara Ojibwe Forests Rally pada 25-26 Ogos ini.
 

WRX


Dibina oleh Vermont SportsCar, WRX spesifikasi rali dalam kategori Open 4WD itu membawakan enjin boxer 2.0 liter turbo menghasilkan kuasa 320 hp dan daya kilas 512 Nm, dengan had boost 22 psi dan plat pembatas (restrictor plate) bersaiz 33 mm.

Ia kemudian dipadankan dengan transmisi sekuential enam nisbah kelajuan SADEV, sebelum kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda.
 

wrx


Tidak seperti WRX standard, jentera rali ini membawakan kit badan lebar yang diperbuat daripada gentian karbon, diikuti dengan kehadiran panel berliang pada hud hadapan, serta struktur sayap yang besar di belakang.

Penampilan WRX Rally Car ini dikemaskan dengan liveri WR Blue, aksen berwarna kuning, serta logo enam bintang Subaru.
 

WRX


Bagi memastikan pemandu kekal selamat, Subaru WRX Rally Car ini dipasangkan dengan sangkar keselamatan spesifikasi FIA, diikuti dengan sokongan peranti HANS (head and neck support device), serta tangki bahan api Kevlar sebesar 82 liter.

Jentera ini bakal dipandu oleh Brandon Semenuk dan juruarah Keaton Williams, sementara Travis Pastrana pula dijangka akan menyertai pasukan tersebut di dalam jentera kedua.