Subsidi minyak ditarik balik, rakyat Lubnan tak mampu beli petrol

oleh SALINA JALIL|
Krisis mata wang dan harga petrol yang tinggi menyebabkan budaya memiliki serta menggunakan kereta peribadi untuk pelbagai tujuan dalam kalangan penduduk Lubnan semakin ' lenyap 'di negara Lubnan


Sebelum krisis ekonomi melanda, penduduk negara tersebut terkenal kerana mempunyai minat tinggi terhadap kereta manakala bilangan mereka yang memiliki lesen memandu juga sangat tinggi.

 

Ketiadaan sistem pengangkutan awam yang cekap juga mendorong munculnya budaya pemilikan kereta peribadi sehingga seisi rumah mempunyai pelbagai jenis kereta untuk kegunaan mereka.

 

Bagaimanapun, sejak tahun 2019, krisis kewangan yang semakin teruk di Lubnan telah menyebabkan petrol tidak lagi mampu untuk dibeli sekerap yang boleh bagi kebanyakan penduduk Lubnan.

 

Deretan panjang kenderaan yang menunggu giliran di stesen-stesen minyak akibat krisis ekonomi dan kekurangan bahan bakar itu menyebabkan sejumlah orang tidak mampu lagi pergi bagi mengisi petrol untuk kereta mereka.

 

Menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan, harga minyak dinaikkan kira-kira 25 peratus oleh kerajaan negara tersebut pada Rabu lalu sekali gus menyebabkan subsidi terhadap semua barangan berasaskan minyak ditarik balik.

 

Kenaikan itu mengakibatkan 20 liter petrol jenis 98 dijual pada harga kira-kira AS$15 (RM62.37) manakala pengumuman peningkatan harga itu turut memberi kesan kepada penjualan gas serta diesel di negara tersebut.

 

Ini adalah kerana gas digunakan untuk tujuan memasak dan diesel pula merupakan bahan pembakar untuk generator peribadi ekoran masalah bekalan elektrik sering terputus disebabkan oleh krisis ekonomi.

 

 

Ketika kenaikan itu berlaku, harga pound Lubnan dijual pada kadar 20,500 untuk satu dolar Amerika Syarikat (RM4.16).

 

Kenaikan harga itu juga mencetuskan protes di Beirut, selatan dan utara Lubnan dan terdapat desakan supaya harga gaji minimum dinaikkan.

 

Tahap kehidupan pula semakin merosot dengan lebih separuh penduduknya terjerumus ke dalam kancah kemiskinan ekoran krisis tersebut.

 

MATA WANG MEROSOT TERUK

 

Mata wang negara tersebut pula kehilangan nilai lebih 90 peratus di pasaran gelap manakala simpanan asingnya kian menyusut dan ia turut menghadapi masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan serta barangan-barangan asas keperluan.

 

Berikutan kenaikan harga petrol, tuk-tuk, basikal, bas dan menumpang kereta untuk pergi ke satu-satu tempat menjadi popular dalam kalangan penduduk ekoran harga tambang teksi yang tinggi.

 

"Sebelum krisis berlaku, saya bergantung kepada kereta milik keluarga dan teksi tetapi kini semuanya terlalu mahal (ekoran kenaikan harga minyak)," kata seorang wanita, Grace Issa yang berusia 23 tahun kepada AFP.

 

Satu-satunya pilihan untuknya pergi ke tempat kerja yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya adalah dengan menaiki bas yang dikendalikan oleh perkhidmatan pengangkutan Hadder.

 

Terdapat lebih dua juta kereta di negara yang mempunyai mempunyai kira-kira enam juta penduduk itu.

 

Import kereta juga jatuh sehingga 70 peratus sejak lebih dua tahun lalu kerana penduduk Lubnan tidak mampu untuk membelinya dengan menggunakan mata wang tempatan.

 

Bagi menangani masalah kenaikan itu, Boutros Karam, 26, dan tiga rakannya menubuhkan perkhidmatan pengangkutan Hadder yang menyediakan pengangkutan untuk kegunaan orang ramai di sepanjang lebuh raya pantai utara negara tersebut.

 

Bas itu dilengkapi dengan wi-fi, perkhidmatan pengesanan dan mempunyai jadual perjalanan serta digunakan oleh 60 peratus pengguna wanita yang sebelum ini kerap mengadu gangguan seksual ketika menggunakan bas serta van awam.

 

Menurut Karam, bas yang digunakan itu adalah dari jenis model lama tetapi dia bersama tiga rakannya menyediakan perkhidmatan tersebut berikutan krisis harga minyak sehingga menyebabkan ramai penduduk tidak mampu untuk menggunakan teksi atau kereta sendiri.

 

 

SinarHarian

Berita Berkenaan

Berita Global
Malah, kisah menjadi semakin menarik apabila Ghosn berjaya melepaskan diri dari tahanan di Jepun…
Berita Global
Menurut satu sumber kehakiman yang rapat kepada Ghosn, Reuters melaporkan bahawa Jepun telah…