Sungai Klang Link, MTD Construction meterai MoU projek lebuh raya bertingkat baharu

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Sungai Klang Link Sdn Bhd (SKL) memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan MTD Construction Sdn Bhd (MTDC) bagi pembangunan serta pembinaan projek lebuh raya bertingkat yang dicadangkan oleh SKL kepada kerajaan.

Dalam kenyataannya, SKL berkata ia dalam proses mendapatkan kelulusan akhir membabitkan cadangan bagi membina, memiliki serta mengendalikan projek itu sebagai satu konsesi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Cadangan lebuh raya sepanjang 53 kilometer itu meliputi kawasan di sepanjang Sungai Klang di Lembah Klang yang bakal disepadukan dengan rangkaian lebuh raya sedia ada.

"Ia akan turut menggabungkan tujuh persimpangan yang dicadangkan bermula di Klang dengan persimpangan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Pantai Baru 2 (NPE 2). Infrastruktur yang direka secara strategik ini akan meningkatkan ketersambungan dan akses di wilayah ini," katanya.

Syarikat itu juga menyifatkan kerjasama dengan MTDC akan mengukuhkan lagi usaha memacu pembangunan serta pembinaan infrastruktur lebuh raya bertingkat inovatif yang disasarkan olehnya.

Pada masa sama, ia juga memberi takrifan semula infrastruktur pengangkutan dan meletakkan asas untuk masa depan yang progresif serta saling berkaitan, katanya.

MTDC yang juga anak syarikat Kumpulan MTD, akan menyumbang dari segi pengetahuan, pengalaman dan kepakarannya kepada pembangunan projek lebuh raya yang dicadangkan itu.

Sokongan MTDC akan merangkumi fasa perancangan, pembinaan dan menyiapkan lebuh raya berkenaan manakala Kumpulan MTD menyumbang kepakaran komprehensifnya yang meliputi aspek perkhidmatan, tenaga kerja, bahan dan peralatan.

Tumpuan khusus akan diberikan kepada aspek pengurusan operasi lebuh raya dan penyelenggaraan projek berkenaan.

 

Bernama