SuperKIP tersingkir. "Tiada istilah 'habis madu sepah dibuang" - Datuk Razlan Razali

oleh SALINA JALIL|
Tiada istilah 'habis madu sepah dibuang' dalam tindakan PETRONAS Sprinta Racing Team menyingkirkan Khairul Idham Pawi dalam kem Moto3 mereka musim depan meskipun selepas pelumba negara itu mengalami pelbagai isu dalam dua tahunnya bersama pasukan.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, pasukan sudah memberi banyak ruang kepada pelumba berusia 22 tahun itu untuk menunjukkan peningkatan baik ketika bersaing di kelas Moto2 - yang menyaksikan dia mengalami kecederaan serius di jari kelingking kanan dan terpaksa direhatkan sehingga penghujung musim 2019 dan juga aksi Moto3 musim ini.

 

Katanya, Khairul atau diberi julukan SuperKIP sudah diberi sehabis peluang untuk menunjukkan peningkatan dalam tahun yang dibelenggu dengan pandemik COVID-19 ini tambahan pula, pemenang di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman 2016 itu turut menjalani pembedahan membuang sebahagian jarinya itu Ogos lalu bagi membolehkan dirinya beraksi dengan lebih baik.

 

Begitupun, pengorbanan dan situasi dialami tidak boleh dijadikan jaminan kukuh untuk terus mengekalkan SuperKIP berada dalam pasukan musim depan apatah lagi pelumba dari Kampung Gajah, Perak itu tidak menggunakan peluang baki perlumbaan yang ada menunjukkan peningkatan prestasi diharapkan.

 

"Selepas setiap pusingan, kita berbincang, tanya apa masalah dan kita tukar apa yang perlu tetapi dia tak boleh juga buat (peningkatan). KIP (Khairul Idham) bukan rookie (pelumba muka baharu) tetapi seorang pelumba berpengalaman dan biasa di kejuaraan dunia dan kita jangka sesuatu yang lebih daripadanya.

 

"Sebagai pasukan profesional, yang ada sasaran tinggi, kita nak buat terbaik. Kita letak sasaran yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak pada awal tahun. Selepas itu, kita longgarkan sasaran, bertolak ansur mengenai tahap kompetitifnya daripada kelompok 15 terbaik ke kelompok 20 terbaik sehinggalah kami katakan 'jangan sehingga (penamat) tercorot'.

 

"Itu bukan satu sasaran atau prinsip yang kita nak dalam pasukan ini. Hanya kerana dia seorang pelumba rakyat Malaysia. Itu kita tak nak. Saya percaya dia melalui segala-galanya daripada kecederaan, pengorbanan memotong jari tetapi itu (hakikat apabila) menjadi seseorang pelumba.

 

"Kalau dilihat, (Niki) Tuuli yang menggantikan Zulfahmi Khairuddin di Moto2 (tahun 2018), dia pun kemalangan, potong jari tetapi kembali bangkit dan meraih mata. Kita juga tidak melanjutkan kontraknya dan melepaskannya. Ini satu perjalanan (yang perlu dilalui) oleh semua pelumba.

 

srt superkip

 

"Tapi pokoknya, kita tak nak KIP jadi seperti itu, kita sudah buat yang terbaik tetapi tak nampak tanda-tanda dia boleh bangkit semula. Takkan kita mahukan seseorang pelumba itu apabila meraih penamat di tempat ke-22, ke-18, ke-19 dan kita gembira (dengan keputusan itu). Tidak, kita bukan begitu.

 

"Mungkin dulu kita ada satu pasukan saja iaitu Moto3, masa itu iya. Tetapi apabila pasukan ini sudah besar, ada Moto3, Moto2 dan MotoGP... tambahan pula semua pelumba menunjukkan peningkatan tetapi pelumba tempatan kita tidak begitu. Maka bagi saya, kita sudah tak tahu apakah yang perlu dilakukan lagi, jadi kita membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya."

 

Begitupun, Razlan berharap Khairul Idham menggunakan baki empat pusingan ini untuk menunjukkan peningkatan bagi membolehkan sebarang ruang rundingan dilakukan dalam usaha menyerap pelumba berkenaan ke Kejuaraan CEV - pentas yang turut disertai pelumba pelapis negara seperti bekas pelumba Moto3, Adam Norrodin di Kejuaraan Moto2 Eropah, Syarifuddin Azman di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia dan Muhammad Sharul Ezwan Sharil (European Talent Cup).

 

"Kalau dia boleh tunjukkan sedikit peningkatan, kita boleh pertimbangkan. Bukannya seperti buka laci ambil wang RM 1juta dan berikan kepada KIP untuk dia ke CEV Moto2. Jadi pelumba itu kena lakukan sesuatu.

 

"Kalau dia dapat tunjukkan sedikit peningkatan pun dan mampu menduduki posisi terbaik, maka mungkin saya boleh membantunya untuk ke CEV Moto2. Jika hanya memperoleh keputusan seperti ini (kelompok belakang) dan jika terus ingin ke Moto2 CEV, maka dia perlu cari jalan sendiri," kata Razlan yang turut mendedahkan kos untuk membawa seorang pelumba ke saingan CEV boleh mencecah kira-kira RM 1juta.

 

 

BH

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Saya sedar dan tahu ramai netizen kecam keputusan saya (tidak menyambung kontrak) Khairul Idham…
Sukan Bermotor
  Untuk tahun ini, saya boleh katakan agak mencabar kerana dalam satu musim ada 20 perlumbaan.…