Kata Noor Hisam, aksi berbahaya semua remaja berkenaan dikesan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar melalui video tular di media sosial pada Sabtu lalu yang memaparkan mereka melakukan aksi ala 'Superman' terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada kira-kira 3.15 petang 19 Oktober lalu apabila motosikal ditunggang suspek secara berbahaya menghalang laluan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ambulans berkenaan sedang dalam perjalanan memberi bantuan kemalangan di KM260 PLUS arah Selatan. Ambulans itu berada di laluan lorong kanan namun secara tiba-tiba laluannya dihalang oleh sekumpulan penunggang motosikal yang sedang membuat aksi berbahaya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, lagi, lima suspek berjaya ditahan antara jam 3 petang hingga 9 malam semalam (Isnin) di sekitar kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang menerusi penguatkuasaan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak.
Menurutnya, selain ditahan, lima motosikal suspek turut dirampas, dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Video selama 33 saat yang dirakam, dipercayai oleh kakitangan KKM yang berada dalam ambulans terbabit, tular di media sosial memperlihatkan lima penunggang motosikal menunggang dalam keadaan berbahaya ala aksi 'Superman'.