Surat MITI tidak sah bermula 1 Jun - Menteri

oleh Mohamad Hanif|
Surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarbangsa dan Industri (MITI) akan terbatal mulai 1 Jun ini serentak dengan hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pekerja di sektor perkhidmatan yang dibenarkan bekerja, sebaliknya, perlu mendapatkan surat kebenaran baharu dari kementerian berkaitan.

"Dengan pelaksanaan PKP, semua surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh MITI adalah terbatal mulai 1 Jun 2021.

"Permohonan baharu bagi kebenaran perjalanan perlu dikemukakan kepada kementerian-kementerian yang berkaitan. Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok," katanya dalam sidang media pada Ahad.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh mulai 1 Jun, hanya dua orang wakil isi rumah dibenarkan keluar bagi mendapatkan keperluan asas.

"Dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

"Maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman.

"Atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius 10 kilometer dari kediaman," katanya lagi.

Manakala bagi kapasiti penumpang pengangkutan awam dan e-hailing pula jelas Ismail Sabri, hanya ditetapkan kepada dua orang sahaja termasuk pemandu dan penumpang.

Sementara bagi perkhidmatan bas henti-henti, bas ekspres, LRT, MRT, ERL, Monorel, feri dan lain-lain pengangkutan awam pula dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus penumpang.

Manakala bagi kehadiran pekerja swasta dan awam juga masing-masing terhadap kepada 20 dan 60 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini.

Tambah Ismail Sabri, bagi taska, tabika, tadika swasata serta pusat perkembangan minda kanak-kanak tidak dibenarkan kecuali bagi petugas barisan hadapan.

"Aktiviti solat hanya dihadkan kepada 12 orang terhadap Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surat sahaja.

"Begitu juga dengan upacara akad nikah dibenarkan hanya di Pejabat/ Jabatan Agama Islam dengan kehadiran mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri," jelasnya lagi.

Bagi aktiviti rumah ibadat selain Islam pula juga dihadkan kepada AJK rumah ibadat tanpa kehadiran penganut.

Sementara itu, aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan secara individu di kawasan terbuka.

"Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan secara individu di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal terhad kepada joging dan senaman sahaja dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter.

"(Perlu) dilakukan di kawasan kejiranan tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa," katanya lagi.

Sumber: Astro Awani