"Garis panduan ini dirangka sebagai langkah pencegahan susulan insiden tragik seorang remaja meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit di soket bas ekspres, 1 November 2024.
"Siasatan oleh JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), SIRIM, Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati, wujud kecuaian dalam pemasangan pendawaian elektrik membabitkan arus ulang alik (AC) di bas itu, yang dilakukan tanpa pengawasan individu kompeten.
"Pendawaian elektrik tambahan merujuk kepada sebarang litar elektrik yang dipasang dalam kenderaan motor bagi membekalkan arus ulang alik (AC) melebihi 50 voltan, melalui penggunaan inverter, kepada kelengkapan seperti soket, alat pemanas air atau sistem hiburan.
"Pendawaian ini bukan sebahagian daripada sistem asal yang dipasang oleh pengilang dan lazimnya ditambah untuk kemudahan pengguna," katanya pada sidang media di syarikat pembuatan bas di Telok Gong, Pelabuhan Klang.
Aedy Fadly berkata, bagi memastikan pemasangan sistem ini tidak menjejaskan keselamatan kenderaan dan penumpang, JPJ merangka dokumen kerja dalaman dikenali sebagai 'Internal Work Sheet' - IWS(e).
"Dokumen ini akan menjadi bukti pematuhan rasmi terhadap keperluan teknikal dan keselamatan pendawaian elektrik tambahan yang mengandungi tiga komponen utama iaitu pemeriksaan am terhadap kemasan dan kekemasan pemasangan, pemeriksaan keselamatan elektrik seperti sistem perlindungan dan pembumian dan ujian fungsian bagi memastikan semua peralatan beroperasi dengan baik," katanya.
Beliau menjelaskan, penyediaan dan pengesahan dokumen ini hanya boleh dilakukan di bawah penyeliaan seorang juruteknik elektrik berdaftar dengan JPJ dan mempunyai kelayakan minimum Pendawai Fasa Tunggal dengan Endorsan Pengujian Pepasangan (PW 2) yang masih sah daripada ST.
"Garis panduan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 dan terpakai kepada semua kenderaan motor yang didaftarkan pada atau selepas tarikh itu.
"Pemilik kenderaan dalam kategori motor ini perlu mengemukakan dokumen IWS(e) semasa menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM), termasuk bagi bas binaan tempatan, yang perlu mengemukakan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP) sebagai bukti bahawa pemasangan sistem elektrik dilakukan mengikut spesifikasi," katanya.
Menurutnya, bagi kenderaan motor yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2026, tempoh peralihan setahun diberikan bagi membolehkan pemilik membuat penyesuaian dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan yang ditetapkan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh bermula 1 Januari 2027.
"Sekiranya sistem pendawaian elektrik tambahan sedia ada masih digunakan dalam kenderaan itu, pemilik perlu mengemukakan dokumen IWS(e) semasa menjalani pemeriksaan di PPKM sebagai bukti bahawa pemasangan dilakukan secara selamat dan mengikut spesifikasi.
"Pemasangan atau pengubahsuaian pendawaian elektrik tambahan dalam kenderaan tanpa pengawasan juruteknik elektrik berdaftar dengan JPJ tidak dibenarkan.
"Pelaksanaan garis panduan ini bukan sahaja bertujuan mengawal selia pemasangan sistem elektrik tambahan, malah sebagai usaha penambahbaikan teknikal dalam sektor automotif negara," katanya.
Pembina badan bas dinasihati menyediakan dokumen IWS(e) lebih awal daripada tarikh kuat kuasa dan sekiranya persediaan lengkap, penyediaan dokumen ini boleh dilaksanakan serta-merta bagi menyokong pelaksanaan awal garis panduan ini secara berperingkat.