SUV mewah Genesis GV80 kini dalam bentuk badan coupe, kuasa cecah 409 hp

oleh Mohamad Hanif|
Setelah memperlihatkan model konsep GV80 Coupe pada April yang lalu, Genesis akhirnya secara rasmi mengumumkan ketibaan model SUV Coupe yang bakal menjadi pesaing kepada BMW X6.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Untuk pasaran Korea Selatan, ia dijangka akan mula dijual pada 11 Oktober nanti.

Dari segi dimensi, Genesis GV80 Coupe berukuran 4,965 mm, jarak antara roda sepanjang 2,955 mm, lebar 1,975 mm dan tinggi 1,710 mm.
 

SUV


Tidak seperti GV80 yang standard, GV80 Coupe membawakan garis bumbung yang lebih melandai di belakang sebelum diakhiri dengan spoiler bumbung sporti, rim eksklusif 20 atau 22 inci dan sistem ekzos empat tip.

Ruang kabin pula mendapat tetapan skrin lebar bersaiz 27 inci yang menggandingkan paparan kluster digital dan infohibur dalam satu panel tunggal.

Konsol tengah pula menempatkan dial pemilihan gear pemanduan dan tombol yang dikhususkan untuk sistem infotainmen tadi, diakhiri dengan kemasan kristal.
 

gv80


Genesis GV80 Coupe menawarkan upholsteri kulit, aksen aluminium, trim kayu sebenar dan roda stereng dua tona, sementara tempat duduk belakang pula boleh dibaringkan untuk keselesaan atau menjadikan SUV ini lebih praktikal untuk mengangkut lebih banyak muatan.

Versi asas dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.5 liter turbo dengan janaan kuasa 300 hp dan 422 nm, diikuti dengan nadi bentangan V6 3.5 liter turbo berkembar menghasilkan 375 hp dan 530 Nm.

Sementara varian yang paling berkuasa mendapat enjin V6 yang sama yang dibantu dengan pengecas lampau elektrik, dengan kuasa keseluruhan 409 hp dan 549 Nm.
 

GV80


Kesemua enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan dan sistem pacuan semua roda secara standard.

Terdapat sehingga 13 pilihan warna yang boleh dipilih termasuklah warna eksklusif Bering Blue yang tidak boleh didapati pada mana-mana model Genesis.

Ruang kabin Genesis GV80 Coupe pula boleh disesuaian dengan lima pilihan warna termasuk tiga warna baharu iaitu Glacier White, Earth Brown dan Bordeau Brown.