Suzuki Hayabusa 2021 kembali! 187.7 hp/150 Nm, 0-100 dalam 3.2 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira tiga tahun yang lalu, model motosikal terpantas di dunia Suzuki Hayabusa dihentikan pengeluarannya akibat pelaksanaan regulasi emisi yang semakin ketat.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Namun, Suzuki tidak mahu 'membunuh' terus model tersebut, sebaliknya menambah baik spesifikasi dengan rupa yang baharu, serta nadi kuasa yang kini mampu memenuhi piawaian emisi Euro5.

Difahamkan, Suzuki masih lagi mengekalkan binaan casis seperti yang terdapat pada model terdahulu, namun subrangka belakang telah dikemaskini bagi mengurangkan berat sehingga 700 g, selain menambahbaik sistem suspensi KYB bagi roda hadapan dan belakang.

 


Keseluruhan pakej rupa Hayabusa membawakan stail yang baharu disamping mengekalkan elemen tradisional Hayabusa, di mana ia menampilkan skrin depan yang lebih panjang dan bar hendal yang diposisikan rapat kepada penunggang untuk keselesaan yang lebih baik.

Sebagai sebuah motosikal abad ke-21, sistem lampu secara keseluruhan menggunakan unit LED depan dan belakang, manakala lampu posisi dan lampu membelok pula kini duduk di dalam perumah yang sama.

Sistem pemberhentian pula menggunakan brek Stylema daripada Brembo dengan cakera 320 mm di depan dengan rekaan cross-drilled untuk tujuan penyejukan yang lebih baik.

Sementara roda aloi pula menampilkan rekaan tujuh jejari serba baharu dan dibaluti tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22.

 


Sistem suspensi pula adalah jenis boleh laras sepenuhnya, terdiri daripada fork telekskopik terbalik KYB di hadapan, dibantu dengan spring gegelung KYB, di mana ia menawarkan ketinggian pelana setinggi 800 mm dari aras tanah.

Sebut pasal kuasa, Suzuki juga masih lagi mengekalkan unit enjin empat silinder sebaris 1,340 cc dengan angka output setinggi 187.7 kuasa kuda dan daya kilas 150 Nm @ 7,000 rpm, penurunan disebabkan perlu memenuhi regulasi pelepasan emisi Euro5.

Pun begitu, Suzuki mendakwa mereka telah memberikan talaan bagi membolehkan pengedaran kuasa dan respons yang lebih pantas, sebelum mencapai kelajuan yang dihadkan secara elektronik 299.3 km/j.

 


Antara perubahan yang dilakukan adalah camshaft yang telah diprofilkan semula, penggunaan spring injap, omboh, rod, pin omboh serba baharu, crankshaft yang direka semula, klac slipper assist baharu dan talaan semula kepada sistem transmisi.

Selain daripada itu, Suzuki juga menumpukan perubahan kepada aliran pelincir yang lebih baik kepada bahagian crank, serta galas transmisi yang lebih kuat bertujuan untuk menjaga hayat dan reliabiliti jentera ini.

Dengan perubahan yang dinyatakan, Suzuki Hayabusa 2021 mampu memecut sepantas 3.2 saat dari 0-100 km/j, 0.2 saat lebih pantas berbanding model generasi kedua.

 


Segala sisa pembakaran disalurkan keluar menerusi sistem ekzos baharu yang direka untuk memenuhi peraturan emisi Euro5, selain mampu mengurangkan berat badan jentera ini dari 268 kg kepada 264 kg sahaja.

Aspek tunggangan dibantu dengan kelengkapan elektronik seperti ride-by-wire, unit pengukuran inertia enam paksi, Cornering ABS, kawalan cruise, sistem brek kombinasi, rear wheel lift control, bantuan mula mendaki, butang pandu mula satu sentuhan dan sistem bantuan RPM rendah bertujuan untuk membantu mengelakkan motosikal daripada berhenti secara tiba-tiba.

Terdapat beberapa mod tunggangan yang disediakan menerusi Suzuki Drive Mode Selector (SDMS-α) yang mampu menetapkan kadar pengedaran kuasa, kawalan cengkaman, kawalan wheelie, kawalan brek enjin, dan tetapan quickshifter.

 


Segala mod tersebut boleh dipilih menerusi paparan TFT berwarna yang diapit dengan meter analog tipikal Hayabusa.

Harga jualan bermula dari £16,499 (RM91,923), tidak termasuk opsyen yang mampu mengeringkan lagi dompet anda seperti skrin yang lebih tinggi, pelindung tempat pembonceng, beg tangki, pendikit dengan ciri pemanas, dan ekzos Akrapovic.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mereka juga turut memaklumkan tempahan sudah pun dibuka namun jumlah sebenar Hayabusa 25th…
Berita Global
Mungkin tidak ramai yang sedar, motosikal ini sudah pun berada di dunia sejak 25 tahun yang lalu,…
Berita Global
Apa yang terkandung di dalam pek aksesori Performance Hayabusa?     Komponen paling utama ialah…