Ditawarkan dalam 30 unit terhad, Jimny Rhino boleh didapati dalam warna putih mutiara tulen, diikuti dengan logo ikonik Rhino, liveri bertemakan warna merah, kelabu dan hitam, perkataan "Real Offroader" di bahagian sisi, serta tidak ketinggalan grafik Rhino.
Ciri lain termasuklah jeriji Suzuki Heritage, kemasan krom pada cermin sisi, bampar hadapan dan skirt sisi, mud flaps berwarna merah dengan ejaan Jimny berwarna putih, serta penutup tayar ganti belakang dengan logo Rhino.
Terdapat juga pemasangan perlindungan komponen pembeza (differential) depan dan belakang, diikuti dengan penghadang hujan dan angin sebagai perlindungan tambahan.
Bersempena dengan pengenalan edisi baharu ini, Naza Eastern Motors turut sama menganjurkan acara Jimny Lifestyle Drive melibatkan 30 orang pemilik Jimny berkonvoi dari Bilik Pameran Suzuki Cars PJ ke Pusat Latihan & Pengalaman 4WD Malaysia (M4TREC), Semenyih.
Pemilik Jimny sedia ada juga boleh mendapatkan kit Jimny Rhino dengan harga pakej bernilai RM15,000 menerusi Naza Eastern Motors.
Suzuki Jimny Rhino masih lagi mengekalkan enjin asal 1.5 liter NA dengan hamburan kuasa 101 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan dan sistem pacuan empat roda.
Harga jualan Suzuki Jimny Rhino bermula dari RM174,900 atas jalan tidak termasuk insurans.