Syarikat bina lebuh raya didenda RM75,000

oleh SALINA JALIL|
Sebuah syarikat pembinaan lebuh raya didenda RM75,000 di Mahkamah Sesyen Ampang, dekat sini, kerana gagal mematuhi syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).


Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, hukuman itu diputuskan Hakim Jumirah Marjuki terhadap pengarah syarikat berkenaan, atas kesalahan melepaskan air larian permukaan daripada tapak projek melebihi had dibenarkan dalam syarat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Pengarah syarikat berkenaan selaku orang kena saman hadir di Mahkamah hari ini dan mengaku salah atas pertuduhan dikenakan ke atas syarikatnya," katanya dalam kenyataan semalam.

 

Nor Aziah berkata, menurut fakta kes, pada 11 September 2020, pegawai penguat kuasa JAS mendapati kandungan pepejal dalam air larian permukaan daripada tapak projek lebuh raya iaitu sebanyak 1,190 miligram per liter.

 

"Jumlah itu melebihi had dibenarkan dalam syarat kelulusan laporan EIA iaitu sebanyak 50 miligram per liter.

 

"Dengan itu, syarikat terbabit melanggar Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

 

 

Berita Harian