Syarikat NDB mahu hasilkan bateri tahan 28,000 tahun dari satu caj!

oleh HEZERI SAMSURI|
Bunyi seperti suatu bidaah tetapi itulah yang sedang dibangunkan oleh sebuah syarikat 'start-up" dari Amerika Syarikat, NDB Inc.

Bateri "endless" atau tiada penghujung itu menggunakan sisa radioaktif dari tenaga nuklear dan mempunyai kepadatan tenaga yang mampu bertahan dari 10 tahun sehingga kepada 28,000 tahun tanpa perlukan sebarang caj.

Teras utama di dalam teknologi ini ialah sekeping kecil sisa nuklear yang dikitar semula. Penyelidik di NDB sedang menyiasat bagaimana ia boleh menggunakan semula grafit dari reaktor nuklear yang menyerap radiasi dari rod bahan api (fuel rod) dan menjadi radioaktif.

Grafit itu kaya dengan radioisotop karbon-14 (C-14) dan akan mengalami pereputan beta kepada nitrogen dan melepaskan elektron.

Apa yang NBD cuba lakukan sekarang ialan untuk mengambil grafit itu, menulenkannya dan menghasilkan berlian-berlian C-14 halus berskala nano.

Kekisi hablur itu akan menjadi semikonduktor dan juga sinki haba dan seterusnya mengumpulkan caj dan membawanya keluar. 

Berlian radioaktif itu akan "disimpan" di dalam satu lagi berlian tiruan yang stabil dan murah untuk mengelakkan kebocoran radiasi dan juga dari diusik.

Untuk menghasilkan sel bateri nano-berlian, beberapa lapisan bahan nano itu perlu disusun berlapis-lapis dan kemudian disimpan di dalam satu litar bersepadu yang kecil, dan ditambah dengan satu super-kapasitor untuk mengumpul, menyimpan dan menyebarkan caj.

Buat masa sekarang, projek ini masih dalam peringkat konsep dan lukisan draf, tanpa sebarang prototaip berfungsi.

NDB bagaimanapun berkata produk itu akan siap untuk dipasarkan dalam masa lima tahun lagi dan akan menurut piawaian antarabangsa, termasuk AA dan AAA.

Prototaip berfungsi bateri nano berlian ini dijangka akan siap pada penghujung tahun ini.

Bayangkan telefon pintar yang langsung tidak perlu dicaj, atapun kereta elektrik yang boleh digunakan untuk beberapa generasi.

Bunyi menarik bukan tetapi realitinya, tenaga yang dihasilkan oleh bateri nano berlian ini masih lagi terlalu kecil - satu bateri nano berlian dengan 1g karbon-14 hanya mampu menghasilkan 15 Joules sehari - jauh kurang dari apa yang boleh dihasilkan oleh satu bateri AA.

Ia juga terlalu mahal untuk dihasilkan.

Tidak mengapa kerana prospek nano bateri ini cukup besar dan pastinya ramai akan mencari penyelesaian untuk sebarang masalahnya.

* Diambil dari laporan asal Inceptive Mind

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Antara inisiatif yang termaktub dalam perancangan itu ialah untuk membina fasiliti memproses galian…
Berita Global
Namun, ia tidak pernah menghalang Porsche daripada terus meneroka kemungkinan dan peluang untuk…
Berita Global
Unit bateri daripada model prototaip I-Pace telah dikeluarkan dan digunakan kembali untuk mencipta…