Syarikat penerbangan kedua Indonesia, TransNusa terbang ke Guangzhou, Singapura bulan depan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
PT TransNusa Aviation Mandiri (TransNusa) menjadi syarikat penerbangan kedua Indonesia memperkenalkan penerbangan komersial ke Guangzhou, China.

Selain Guangzhou, TransNusa yang juga syarikat penerbangan baharu Indonesia juga akan memperkenalkan penerbangan komersial ke Singapura.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis berkata, penjualan tiket untuk dua destinasi antarabangsa baharu itu, Guangzhou dan Singapura itu sudah bermula pada 11 Oktober.

Beliau berkata, laluan baharu itu adalah pencapaian bagi TransNusa untuk menjadi syarikat penerbangan Indonesia kedua yang mendapat kelulusan untuk memulakan penerbangan komersial berjadual ke Guangzhou, China.  

Selain itu, katanya kumpulan berbangga kerana dapat untuk memulakan penerbangan komersial ke Singapura pada jangka masa yang begitu singkat.

"Penerbangan sulung ke Guangzhou dijadualkan pada 16 November manakala penerbangan sulung ke Singapura pada 20 November.

"Pada peringkat awal, kami akan mengendalikan tiga penerbangan pergi balik dari Jakarta ke Guangzhou setiap minggu.  

"Walau bagaimanapun, menjelang Disember, kami akan meningkatkan kekerapan penerbangan dari Jakarta ke Guangzhou dan Guangzhou ke Jakarta kepada tujuh kali seminggu daripada tiga kali seminggu," katanya.

Bagi penerbangan komersial ke Singapura, TransNusa sudah menerima semua kelulusan yang diperlukan dan akan mula mengendalikan satu penerbangan pergi dan balik setiap hari.

Penerbangan TransNusa akan berlepas dari Jakarta pada 07.45 pagi dan tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi Singapura pada 10.40 pagi manakala penerbangan dari Singapura ke Jakarta akan berlepas pada 11.40 pagi dan tiba di Jakarta pada 12.25 tengahari.  

Mengulas lanjut, Francis berkata, sejak awal tahun ini, TransNusa sudah menikmati corak pertumbuhan yang sihat kerana ia menjenamakan semula dirinya sebagai pembawa perkhidmatan premium untuk laluan antarabangsanya dengan memperkenalkan model perniagaan baharu.

Beliau berkata, kumpulan memperkenalkan penerbangan antarabangsa pertama dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada 14 April tahun ini sebelum melebarkannya untuk laluan dari Jakarta ke Johor. 

Malah, katanya perkhidmatan yang ditawarkan oleh TransNusa juga melebihi syarikat penerbangan tambang rendah.

"Berdasarkan penyelidikan pasaran intensif kami, didapati corak tingkah laku pengembara telah berubah khususnya disebabkan oleh pandemik COVID-19.

"Lantaran itu, kami memilih pakej yang berbeza untuk memenuhi keperluan penumpang yang berbeza," katanya.

 

Berita Harian