Syarikat Singapura perluas perkhidmatan pengecasan EV ke Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Go by City Energy (Go) akan menjadi penyedia perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) pertama yang menawarkan operasi di seluruh Singapura dan Malaysia melalui aplikasi mudah alih mulai hari ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Go, yang dimiliki oleh penyedia saluran gas bandar tunggal Singapura, City Energy, hari ini telah menandatangani perjanjian dengan EV Connection Sdn Bhd bagi memperluaskan sambungan ke Malaysia.

"Go akan menjadi perkhidmatan pertama di Singapura yang mengembangkan keupayaan pengecasan EV ke Malaysia, menyediakan fasiliti tambahan kepada pemandu di kedua-dua belah tambak serta sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong dalam satu kenyataan.

“Kami yakin kedua-dua pengguna dan pemaju hartanah akan memanfaatkan nilai yang kami tawarkan untuk kehidupan yang lebih mesra alam serta pintar," kata Ong.
 

Go City Energy


Menurut City Energy, EV Connection adalah salah satu perintis dalam penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik di Malaysia dan pengedar stesen pengecasan EV yang sah, yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, CIDB, Tenaga Nasional Bhd dan MyHijau.

Dengan usaha sama ini, pemandu Go boleh mengakses rangkaian titik pengecasan EV Connection di Malaysia mulai 19 April 2022, katanya.

“EV Connection berusaha bagi menyediakan penyelesaian praktikal untuk menerajui industri hijau di Malaysia," kata Pengasas EV Connection dan Pengarah Urusan JomCharge, Lee Yuen How.

"Kerjasama strategik dengan Go by City Energy ini membolehkan pemandu EV Singapura dan Malaysia memperluaskan jarak perjalanan mereka di kedua-dua negara untuk sambungan serta kemudahan maksimum," kata Lee.
 

Go


City Energy pertama kali mengumumkan rancangan bagi menawarkan penyelesaian pengecasan EV sebagai perkhidmatan apabila ia mengumumkan penjenamaan semula City Gas pada 1 Dis 2021.

Syarikat warisan berusia 160 tahun itu meneruskan usahanya untuk menyediakan penyelesaian tenaga baharu ke arah kehidupan yang lebih pintar serta mesra alam, di luar perkhidmatan gas berpaip yang menjadi teras perniagaannya yang menjana tenaga lebih daripada 870,000 kediaman dan perniagaan di Singapura.

Di bawah penjenamaan baharu ini, Go, penyedia perkhidmatan EV akan membiayai, mengendalikan termasuk menyelenggarakan rangkaian stesen pengecasan EV yang disokong oleh aplikasi mudah alihnya, perkongsian strategik dengan EV Connection telah memperluaskan sambungan pengecasan ke Malaysia.

Go adalah perkhidmatan pengecasan EV di bawah anak syarikat baharu City Energy iaitu City Energy Go Pte. Ltd.

 


Sumber: Bernama