Berikut ialah lima fakta menarik tentang Lamborghini sepanjang penubuhannya:
1. Lamborghini Marzal: Kereta dengan permukaan kaca paling luas

Marzal pertama kali dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Geneva 1967 dan hanya dikeluarkan sebagai kereta konsep sahaja.
Satu yang menarik tentang Marzal ialah ia dibangunkan dengan niat untuk menghasilkan sebuah grand tourer empat penumpang.
Lamborghini sebelum itu mempunyai kereta dengan empat duduk iaitu 400 GT 2+2.
Marzal direka oleh Marcello Gandini (Carrozzeria Bertone) dan walaupun sekadar model konsep telah menjadi fenomena disebabkan gayanya yang radikal ketika itu.

Di antara ciri menarik pada Marzal ialah bahagian dalam dengan balutan penuh kulit berwarna perak dan corak heksagon yang diulang sehingga papan pemuka.
Ciri paling menyerlah ialah permukaan kaca yang begitu luas iaitu 4.5 meter persegi!
Pada waktu siang, ruang dalaman Marzal begitu cerah kerana pintu dan bumbung menggunakan kaca ditambah pula dengan kerusi berwarna perak!
Sememangnya kereta ini dibina untuk menarik perhatian dan saiz kaca itu menjadikan Marzal sebagai kereta pameran yang boleh dipandu dengan permukaan kaca terbesar dalam sejarah.
2. Lamborghini Miura: Hasil tangan pasukan termuda dalam sejarah Lamborghini
Sejak dari awal penglibatan Ferrucio Lamborghini dalam dunia keusahawanan beliau berhasrat untuk memberikan ruang secukupnya kepada golongan muda yang bijak dan berkebolehan.
Hasrat tersebut diterjemahkan melalui Lamborghini Miura.
Apa yang Ferrucio Lamborghini buat ialah mengambil bakat dari universiti dan profesional muda dalam industri automotif.

Di antara orang muda yang terlibat ialah pereka Marcello Gandini dan pemandu uji Bob Wallace berusia 28 tahun, ketua jurutera Gian Paolo Dallara dan penolong jurutera Paolo Stanzani berusia 30 tahun.
Pada tahun 1966 dengan purata usia 29 tahun, mereka ini adalah pasukan pembangunan termuda dalam sejarah Lamborghini.
Kesemua orang muda ini berjaya dalam bidang masing-masing dan menunjukkan pandangan jauh Ferrucio Lamborghini dalam mempercayai kebolehan mereka.
3. Lamborghini Miura: Kereta produksi dengan ketinggian paling rendah

Satu ciri utama Lamborghini (kecuali Urus) ialah bumbung yang rendah.
Ciri ini bukan baharu, pada tahun 60-an kereta yang rendah, berlenggok dan bentuk aerodinamik merupakan aspek penting bagi pereka dalam menghasilkan kereta sport.
Lamborghini Miura direka dengan ketinggian 105.5 cm (3.46 kaki) dan kereta produksi massa paling rendah dihasilkan.
Ketinggian itu adalah pada paras pinggang sahaja!
Karakter tersebut terus menjadi identiti gayaan Lamborghini sehingga hari ini.
4. Lamborghini LM002: SUV super pertama dalam sejarah

Lamborghini pada hari ini menikmati jualan yang tinggi hasil daripada populariti SUV Urus dan penawarannya adalah satu keputusan tepat.
Satu fakta menarik ialah Urus adalah SUV kedua Lamborghini selepas LM002.
LM002 bermula dengan prototaip Cheetah dan LM001 dan asalnya dibangunkan sebagai kenderaan off-road berprestasi tinggi untuk kegunaan tentera.
LM002 yang siap untuk produksi akhirnya dipertontonkan kepada orang ramai pada Pameran Kenderaan Brussels 1986.
Pada masa itu LM002 hadir dengan konsep berbeza dari mana-mana kereta di pasaran.

Prestasinya sama seperti model sport Lamborghini dengan enjin 5167 cc (Countach) berkuasa 450 hp pada 6,800 rpm. .
Badan LM002 diperbuat dari aluminium dan gentian kaca dengan ciri mekanikal seperti pacuan semua roda, transfer case dua kelajuan dan central locking differential.
Dari segi keupayaan, LM002 mampu mendaki curam sehingga 120 peratus (sekitar 50 darjah).
LM002 adalah SUV super pertama dalam sejarah dan pewarisnya adalah Urus.
5. Lamborghini Countach: Kereta pertama dengan scissor door

Satu lagi ciri menarik pada Lamborghini ialah pintu buka tegak ke atas atau scissor door dan Countach hasil rekaan Marcello Gandini pada tahun 1971 adalah kereta produksi pertama yang menggunakannya.
Selain bentuk baji (wedge) yang ikonik, scissor door juga merupakan identiti Lamborghini sehingga hari ini.
Pemilihan pintu jenis itu bukan hanya untuk estetik semata tetapi juga dari sudut praktikaliti.
Pernah nampak pemandu Countach membuka pintu dan menjenguk ke belakang untuk mengundur?
Ianya bukan sinikal dan fungsi sebenar pintu dibuka ke atas dan menyelesaikan masalah visual belakang yang tidak wujud dari dalam kabin.

Turut membantu apabila kereta diparkir di ruang sempit, pintu yang panjang tidak perlu dihayun ke tepi, tolak sahaja ke atas.
Scissor door terus digunakan pada Diablo, Murciélago, Reventón, Veneno, Centenario dan Aventador seterusnya membentuk karakteristik penting dalam DNA model 12 silinder Lamborghini.
Ada model Lamborghini yang menggunakan pintu konvensional dan walaupun begitu scissor door tetap menjadi identiti Lamborghini.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
