Tan Chong Motor Lao lancar Nissan X-Trail e-POWER di Laos!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan X-Trail e-POWER Laos
Nissan X-Trail e-POWER Laos
Nissan X-Trail generasi keempat dengan teknologi e-POWER seperti di Eropah dan Jepun kini tiba di negara terdekat, Laos.

Lebih dekat apabila X-Trail e-POWER dilancarkan oleh Tan Chong Motor (Lao) Co., Ltd. (TCML), pengedar tunggal dan eksklusif kenderaan Nissan di Laos.

TCML merupakan subsidiari milik penuh Tan Chong Motor Holdings Berhad.

X-Trail e-POWER merupakan versi terbaru X-Trail generasi keempat yang dilancar pada 2021 di China atau setahun selepas Rogue dilancar di Amerika Syarikat.

Teknologi e-POWER pertama kali diperkenal pada Nissan Note di Jepun pada 2016 dan kini sudah melalui beberapa penambahbaikan dan turut ditawarkan di serata dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Nissan X-Trail e-POWER Laos 2024

 

Keistimewaan rangkaian kuasa e-POWER ialah ibarat kenderaan elektrik (EV) yang tidak perlu dicas menggunakan plag elektrik.

Rangkaian kuasa e-POWER X-Trail terdiri daripada perkakasan berikut:

  • Bateri kuasa tinggi
  • Penjana kuasa (power generator(
  • Penyongsang (inverter)
  • Motor depan elektrik 150kW
  • Enjin petrol 1.5 liter tiga silinder turbo Variable Compression Ratio (VC-Turbo)

Kuasa yang menggerakkan roda datangnya dari motor elektrik dan bukan enjin 1.5 liter dengan sistem keseluruhan menghasilkan 142 kuasa kuda (hp).

Enjin digunakan untuk menjana tenaga dan tugas menggerakkan roda dilakukan oleh motor elektrik.

 

Nissan X-Trail e-POWER Laos 2024

 

Untuk pasaran Laos, TCML menawarkan dua jenis pacuan iaitu dua roda (2WD) dan satu lagi sistem canggih iaitu semua roda e-4ORCE.

Sistem dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 157kW (motor belakang 100kW) dan tangkas memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa tujuh saat.

Berbanding sistem pacuan empat roda (4WD) mekanikal, sistem itu mempunyai tindak balas daya kilas belakang 10,000 kali lebih pantas.

Pengendalian dan keselesaan juga cemerlang hasil penyelarasan daya kilas berterusan dan keseimbangan berat yang hampir sempurna.

Satu lagi ciri pada X-Trail Laos ialah penawaran lima atau tujuh tempat duduk dengan tiga baris kerusi.

Di pasaran tempatan sendiri X-Trail generasi ketiga ditawarkan dalam pilihan sebegini dan menambah daya saing berbanding model lain.

Laluan masuk ke kerusi baris kedua juga mudah dengan bukaan pintu hampir 90 darjah.

 

Nissan X-Trail e-POWER Laos 2024

 

Kerusi baris kedua boleh dipisah 40:20:40 serta digerakkan ke depan untuk memaksimumkan ruang belakang atau memudahkan laluan ke kerusi baris ketiga.

Saiz muatan kargo apabila kerusi baris ketiga tidak digunakan ialah 585 liter atau bertambah 20 liter.

Dari segi keselamatan, X-Trail e-POWER dilengkapi pelbagai teknologi seperti Amaran Titik Buta dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang.

Turut dilengkapi Monitor Pandangan Sekeliling dengan Pengesanan Objek yang membantu dalam meletakkan kereta.

Selepas Laos ke mana pula tujuan X-Trail? Atau bila giliran pasaran tempatan?

Belum ada berita dan untuk makluman X-Trail terbaru ini dijumpai di atas treler di Thailand pada Januari lalu.

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan

 

Nissan X-Trail e-POWER Laos 2024