Tayar celup - jangan benarkan jika tiada pemantauan

oleh HEZERI SAMSURI|
Berita seorang lelaki Melayu meninggal dunia siang tadi kerana cuba mengalihkan cebisan tayar atau "buaya getah" dari lebuhraya PLUS membuatkan saya terfikir sebentar.

Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa cebisan tayar itu, termasuk saya yang sering menunggang motosikal dan saya memang melalui kawasan kejadian itu ketika pihak polis sedang menutup mayat tersebut.

Cebisan tayar, atau "road gator" (buaya jalan) bukan setakat mampu membunuh penunggang motosikal, tetapi mampu menyebabkan kemalangan untuk kereta-kereta yang melanggarnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Netizen di Malaysia juga nampaknya sekali lagi bangkit dan marah di atas kejadian tersebut dan sekali lagi menghamburkan perasan kesal mereka kerana getah tayar ini sudah membunuh seorang lagi mangsa.

Namun begitu, komen-komen mereka di Careta ini jelas menampakan tidak cukup informasi berkaitan tayar celup.

Cebisan tayar celup bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi menurut laporan-laporan dari global, ia juga menjadi masalah di lebuhraya dan jalanraya di Amerika Syarikat (US). 

Tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata lebih dari 10,000 kes kemalangan adalah berpunca dari tayar celup.

road gator

 

Tayar celup atau juga dikenali sebagai "recap" atau "remold" ialah proses di mana bunga tayar itu diganti dengan lapisan getah baharu ke atas tayar lama yang telah diperiksa dan dibaiki.

Ia menggunakan 90 peratus dari tayar lama dan kos pembuatan tayar celup ialah cuma 20 peratus berbanding dengan kos pembuatan tayar baharu.

Tayar boleh diproses semula beberapa kali untuk menjadi tayar celup, asalkan tayar asal itu masih dalam keadaan baik.

Penggunaan tayar celup dibenarkan di Malaysia dan di negara-negara Eropah dan serta di US juga sekiranya mereka mengikut piawaian di bawah:

  • Di Eropah, tayar celup perlu lulus piawaian ECE R109 (kenderaan komersil) dan ujian mesti sama dengan ujian tayar-tayar baharu.
  • Di US pula, ia perlu patuh pada piawaian DOTR atau Jabatan Pengangkutan di sana. Nama pengilang dan tarikh pembuatan perlu ditulis dengan jelas pada tayar celup tersebut.
  • Di Malaysia pula, tayar celup perlu lulus piaiwaian MS 224:2005 yang termaktub di dalam Akta Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia. Pensijilan mandatori produk MS 224:2005 itu sekali lagi diwartakan oleh kerajaan pada bulan November 2007.
    • Ujian ketahanan dan prestasi tayar celup di Malaysia juga mematuhi piawaian MS1394:2017 yang sama dengan piawaian Eropah ECE R109.

 

 

Pengurusan Kebangsaan Keselamatan Lebuhraya dan Trafik (NHTSA) di US sudah membuat kajian-kajian kenapa tayar celup gagal berfungsi dan meninggalkan cebisan-cebisan di atas jalanraya.

Hasil kajian yang dilakukan itu mendapati punca-punca tayar celup gagal berfungsi di US:

1. Bahaya di jalanan (road hazard)

Sebanyak 38 peratus kegagalan ialah akibat perkara-perkara merbahaya yang ada di jalanraya. Antara contohnya ialah lubang dalam dan sebagainya

2. Penjagaan dan operasi

Sebanyak 32 peratus kegagalan adalah kerana kurang penyelenggaraan dan isu-isu operasi

3. Kecacatan hasil proses pengilangan

Kecacatan fizikal pada tayar celup kerana masalah pengilangan menyebabkan 16 peratus tayar celup gagal berfungsi dengan baik

4. Haba yang melampau

Masalah haba yang melampau dilihat pada 30 peratus sampel-sampel kajian. Haba yang melampau diakibatkan oleh tayar yang kurang tekanan udara, lori yang berjalan tanpa henti untuk jangka waktu yang panjang dan muatan beban yang melebihi had.

 

 

Untuk Malaysia, saya gagal mencari kajian-kajian rasmi berkaitan dengan masalah tayar celup tetapi apa yang saya dapat rumuskan ialah:

Wujudnya kilang tayar celup haram

Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM) berkata kepada media pada awal tahun lalu bahawa penguatkuasaan yang tegas perlu dilakukan selalu untuk memantau kewujudan kilang tayar celup haram yang tidak mematuhi piawaian nasional.

Masalah penjagaan tayar

Tayar celup yang tidak diisi dengan tekanan angin yang betul akan menjadi punca kegagalan tayar tersebut.
Ia akan mengakibatkan geseran yang tinggi dan haba melampau boleh menyebabkan getah bunga baharu tertanggal.

Masalah lebih muatan atau "overloading"

Menurut Hairi Md Ali, Penasihat Gabungan Persatuan Pemandu Pengangkutan Darat Malaysia (GPPPDM), ada lori-lori di Malaysia yang membawa muatan sekali ganda dari had yang dibenarkan.

"Kalau berat sepatutnya 30 tan, dia isi sampai 60 tan!", ujarnya dan kebanyakan pemandu tidak mempunyai pilihan untuk menolak kerana arahan majikan.

Pengalaman saya ketika di New Sunday Times dahulu mendapati treler-treler di Malaysia memang menggunakan gandar heavy duty kerana pembuat treler tempatan tahu penggunanya akan mengisi muatan yang melampau.

Berat yang melampau ini akan menyebabkan tayar celup menjadi lebih panas dari biasa.


Perjalanan jauh tanpa henti

Dua senario di atas (tayar kurang tekanan udara dan masalah overloading), bila ditambah dengan waktu pemanduan yang terlalu lama tanpa henti, akan menyebabkan tayar celup itu terlalu panas dan gagal berfungsi.

Penggunaan tayar asli yang kurang kualiti 

Pengilang tayar celup tempatan sebenarnya ada yang menerima pelantikan sebagai pengilang tayar celup bertauliah dari pengeluar tayar-tayar global dari Jepun, US dan Eropah. 

Ini ialah kerana tayar-tayar asal memang direka untuk melalui proses pembikinan tayar celup.

Namun begitu, sudah wujud tayar-tayar baharu yang murah dan mempunyai kualiti yang kurang. Tayar ini mungkin akan memberi masalah jika dijadikan tayar celup.

 

 

Memang jelas bahawa tayar celup adalah sesuatu perkara yang biasa dan memang wujud di dalam industri tayar global.

Namun apa yang lebih jelas ialah senario penggunaan tayar di Malaysia tidak ada pantauan yang tegas. 

Pihak polis dan JPJ pula tidak boleh menghalang penggunaan tayar celup yang asli kerana ia tidak menyalahi undang-undang. 

Keadaan fizikal tayar pula boleh dilihat dan dipantau ketika ada sekatan jalanraya.

Namun begitu, tidak ada pihak yang mampu memantau samada tayar celup itu cukup tekanan udara dan ia tidak dipandu tanpa henti terlalu lama.

Masalah "overloading" atau membawa muatan berlebihan pula ialah isu yang berusia lebih dari 30 tahun dan masih tidak ada jalan penyelesaian.

Dengan keadaan cuaca yang semakin panas, tidak ada pihak yang boleh menyangkal penambahan cebisan tayar celup di atas lebuhraya sudah meningkat.

 

 

Menurut sumber Careta, masalah objek di lebuhraya sudah meningkat hampir 20 peratus dalam tahun 2019 berbanding dengan tahun sebelumnya, dan objek yang paling sering dijumpai ialah cebisan tayar celup.

Kesalahan pengguna kenderaan adalah punca utama kematian di jalanraya tetapi kemalangan maut akibat objek di jalanraya juga adalah salah satu punca yang kita tidak boleh pertikaikan.

Jadi, adakah pihak kerajaan mempunyai perancangan untuk mengawal masalah ini kerana jika tidak, lebih ramai lagi akan menjadi mangsanya. 

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Kalau takut untuk memantau, janganlah bagi orang pakai.


* Artikel ini ditulis berdasarkan informasi dari artikel-artikel di bawah.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kenyataan-tayar-celup-punca-kemalangan-tak-adil-pengilang-195448


https://pdfs.semanticscholar.org/6589/d8022fc6dda23c06bdddf5da7872445da730.pdf

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa prihatin terhadap keselamatan…