Tayar lori pecah, pemandu maut

oleh Penyumbang Rencana|
foto Harian Metro
Pemandu lori maut selepas tayar kenderaan dipandunya pecah menyebabkan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di Jalan Titi Karangan-Baling, di Kulim pada Khamis.

Mangsa, Mohd Rosidan Omar, 38, dari Kampung Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kemalangan jam 10.30 pagi itu membabitkan dua lori jenis Hino.

Katanya, hasil siasatan mendapati, lori dipandu mangsa dari arah Desa Aman menghala ke Kulim.

"Sebaik tiba di Jalan Titi Karangan-Baling, tayar depan sebelah kanan lorinya pecah lalu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan serta melanggar lori yang datang dari arah Kulim menghala ke Desa Aman.

"Kedua-dua arah terhalang dan menyebabkan kesesakan kira-kira lima kilometer," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zulkifli berkata, akibat kemalangan itu mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu sebuah lagi lori berusia 41 tahun pula dihantar ke Hospital Kulim kerana cedera di badan dan tangan kanan.

"Hasil siasatan kemalangan berpunca pemandu yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan serta menyebabkan perlanggaran dengan sebuah lagi lori.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, sebanyak 50 notis PG1 iaitu larangan penggunaan…
Berita Domestik
“Kita akan memperketatkan lagi pemantauan dan pengesahan terhadap tayar celup di pasaran bagi…
Berita Domestik
"Itu yang sedang kita usahakan kerana semasa kejadian, pihak polis dan pihak PLUS tiada maklumat…