Teksi elektrik Big Blue bakal beroperasi Julai atau Ogos ini

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Syarikat perkhidmatan teksi, Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd (Big Blue) dijangka menggunakan teksi elektrik mulai Julai atau Ogos ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shamsubahrin Ismail berkata sebagai permulaan, 100 unit kenderaan itu akan digunakan selepas pelancarannya nanti.

Katanya teksi elektrik itu sepatutnya dilancarkan pada Mei, namun terpaksa dilanjutkan berikutan beberapa proses yang perlu dipatuhi sebelum diluluskan pihak berkaitan.

"Atas beberapa faktor teknikal seperti proses mendapatkan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA), kami terpaksa membuat koordinasi antara pencipta (teksi), pengeluar dan kerajaan dan ia mengambil masa."Kami juga dalam usaha menandatangani kontrak dengan syarikat tempatan, untuk proses pemasangan kenderaan ini (teksi elektrik), jika berjaya kami jangka bagi pengeluaran pertama sebanyak 5,000 unit teksi," katanya pada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama pemandu teksi Big Blue di sini, pada Ahad.

Pada majlis itu, Shamsubahrin turut memperkenalkan sistem kaunter layan diri Big Blue Teksi, bagi memudahkan pengguna menempah perkhidmatan teksi itu.

Beliau berkata kaunter berkenaan akan diletakkan di kawasan tumpuan awam termasuk di hotel, kawasan pelancongan dan Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA).

Perbincangan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad Malaysia (MAHB) sedang dilakukan untuk mewujudkan kawasan khas kaunter itu di KLIA dengan cadangan pemasangan antara 100 dan 200 unit kaunter di situ, katanya.

Sementara itu, Shamsubahrin mengumumkan pelantikan bekas Pengarah PEUGEOT India, Shashikant Vaidyanathan sebagai CEO yang baharu berkuatkuasa pada 1 Jun ini bagi menggantikan beliau.

"Pengalaman luas Shashi (Shashikant) dalam bidang ini, akan menerajui Big Blue ke tahap yang lebih maju dan selepas ini saya hanya menjadi penasihat kepada syarikat ini," katanya. 

Sumber: Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Jika sebelum ini Big Blue antara yang lantang memberikan komen berkenaan aplikasi e-hailing, kali…