Shahrulanuar berkata, suspek mengaku memandu dalam keadaan mengantuk kerana menelan enam jenis ubat yang diberikan doktor atas sebab masalah kesihatan.
Katanya, malah siasatan polis juga mendapat terdapat dokumen perubatan milik lelaki terbabit yang menunjukkan dia menghidap masalah jantung.
“Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang,” katanya.
Terdahulu, Shahrulanuar berkata, pada hari kejadian, polis mengesan video berdurasi 30 saat di media sosial yang menunjukkan kereta dipandu lelaki berusia 46 tahun tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.
“Hasil siasatan polis termasuk berdasarkan kamera papan pemuka (dashcam), suspek dikesan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Polis Batu Pahat pada jam 3 petang keesokan hari.
“Suspek kemudian berjaya ditahan di perkarangan BSPTD Batu Pahat dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi menjalani ujian saringan air kencing.
“Turut ditahan kereta yang dipandunya pada hari kejadian bagi membantu siasatan punca tindakan lelaki terbabit memandu melawan arus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melul8 dan membahayakan orang lain.
“Kita menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dengan mematuhi isyarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan semua terjamin.” katanya.