Spesifikasi ringkas varian baharu kepada keluarga Corolla Cross itu turut didedahkan, di mana ia disenaraikan menggunakan enjin bersesaran 1,798 cc.
Kemungkinan besar ia merujuk kepada enjin 2ZR-FXE seperti yang terdapat pada Corolla Cross pasaran Thailand, di mana enjin kitaran Atkinson (98 PS/142 Nm) itu dipadankan dengan motor elektrik (72 PS/163 Nm) dengan kuasa keseluruhan 122 PS.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi e-CVT, di mana bacaan penggunaan bahan api pula adalah serendah 4.3 liter/100 km.
Toyota Corolla Cross Hybrid juga disahkan bakal mendapat kelengkapan seperti skrin kluster digital yang lebih besar (7 inci) berbanding 4.2 inci pada model Corolla Cross standard sebelum ini.
Selain itu, ciri lain seperti sistem pandangan keliling 3D panorama, sistem telematik kenderaan, mod pemanduan (Eco, Sport, EV), serta kelengkapan Toyota Safety Sense dan ciri seperti sistem pemantauan titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang.
UMW Toyota juga turut menawarkan aksesori opsyen yang merangkumi perakam video pemanduan, slot pengecasan nirwayar, serta pakej servis jimat (Optional Toyota Service Savers - 3 tahun/60,000 km atau 5 tahun/100,000 km) bermula dari RM2,190.
Untuk model Corolla Cross Hybrid, Toyota menawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan lapan tahun untuk unit hibrid yang merangkumi bateri, inverter, serta ECU.
Harga jualan anggaran bermula dari RM137,000.