Tempahan Toyota RAV4 2020 dibuka - dua varian, harga bermula dari RM204 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan pada minggu hadapan, UMW Toyota telah mendedahkan harga jualan bagi kedua-dua varian SUV Toyota RAV4 2.0 liter dan 2.5 liter menerusi laman web Toyota Malaysia.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Harga jualan untuk model SUV baharu ini bermula dari RM203,880.00 untuk varian 2.0 liter manakala varian tertinggi dengan enjin 2.5 liter pula dijual pada harga bermula dari RM223,880.00.

Dari segi penawaran enjin, Toyota RAV4 didatangkan dengan dua pilihan enjin Dynamic Force, iaitu enjin A25A-FKS 2.5 liter yang mampu menjana 207 PS dan 243 Nm daya kilas, sementara varian yang lebih kecil menerima enjin 2.0 liter M20A-FKS yang menghasilkan 173 PS dan 207 Nm.


SUV yang dibangunkan daripada platform TNGA-K ini mendapat sistem suspensi MacPherson di hadapan serta Trailing Wishbone di belakang di mana kedua-duanya dilengkapi dengan stabiliser.

Keempat-empat sudut arca roda menerima rim bersaiz 18 inci dengan balutan tayar 225/60 R18.

Berdasarkan brosur produk yang tertiris tempoh hari, Toyota RAV4 didatangkan dengan senarai kelengkapan standard termasuklah lampu jenis LED untuk hadapan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin automatik, lampu kabus depan dan belakang, rel bumbung, serta pintu tailgate berkuasa dengan ciri pengesan tendangan.

 


Sementara ruang dalaman pula didatangkan dengan meter paparan optitron, paparan berbilang informasi 7 inci TFT, sistem pendingin hawa dua zon automatik, serta sistem infotainmen bersaiz tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Tempat duduk belakang pula boleh dilipat dengan nisbah 60:40.

Ciri keselamatan Toyota Safety Sense pula adalah standard untuk kedua-dua varian yang merangkumi ciri Sistem pra-Pelanggaran (PCS), Amaran Keluar Laluan (LDA), Bantuan Pengesan Laluan serta Bantuan Stereng, Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC), Sistem Pemantuan Titik Buta dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang, serta ciri suluhan tinggi Automatik.

 


Ia melengkapi ciri keselamatan pasif termasuk 7 beg udara SRS, ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Lampu Berhenti Kecemasan (ESS), sistem pemantauan tekanan tayar, dan cagak ISOFIX.

Selain daripada itu, Toyota RAV4 juga turut didatangkan dengan Sistem Telematik Kenderaan (VTS) yang mampu memantau dan berkongsi lokasi semasa menerusi aplikasi peranti mudah alih.

Untuk pasaran Malaysia, enam warna pilihan ditawarkan iaitu Dark Blue Mica, Red Mica, White Pearl, Silver Metallic, Gray Metallic dan juga Attitude Black.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Bagi menonjolkan lagi RAV4, Toyota Service Parts and Accessories Development (SPAD)…
Berita Global
Laporan tersebut mendedahkan hampir 25 peratus daripada pembeli baharu mempertimbangkan model…
Berita Global
  RAV4 GR SPORT  RAV4 GR SPORT menggunakan teknologi hibrid Toyota generasi keempat dengan…