TEMUBUAL BERSAMA DUTA GAZOO RACING, TENGKU DJAN LEY

oleh Mohamad Hanif|
Memiliki pengalaman perlumbaan selama 26 tahun merangkumi pelbagai jenis format seperti perlumbaan di litar lumba, sukan rali sehinggalah kepada sukan drift, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel yang berusia 44 tahun itu tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umum.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ikuti temubual bersama Duta Rasmi GAZOO Racing yang turut serta berlumba dan berjaya memenangi kejuaraaan Vios Challenge (kategori Super Sporting) berkenaan peranan yang dibawakan oleh beliau bersama Toyota.

 

Soalan: Apakah makna untuk menjadi seorang Duta GAZOO Racing? Apakah tanggungjawab yang harus dipikul dan apakah pencapaian yang diharapkan?

Jawapan: GAZOO Racing merupakan satu inisiatif baharu dari Toyota, secara asasnya ia merupakan lengan sukan permotoran yang melibatkan persaingan di dalam sukan permotoran seperti contoh World Rally Championship, serta acara sukan permotoran tempatan seperti TOYOTA GAZOO Racing Festival.

Unsur-unsur daripada aktiviti sukan permotoran inilah yang bakal disuntik ke dalam barisan produk Toyota pada masa akan datang.

Sebagai Duta Rasmi GR di Malaysia, tugas saya adalah untuk menyokong inisiatif sebegini. Satu contoh yang membuatkan saya teruja adalah pengenalan model Vios GR-S yang dibangunkan khusus untuk pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.

Ia meruapakan varian kepada penawaran sedan Vios namun dengan trenkuasa yang dioptimasikan, suspensi yang lebih baik - secara asasnya ia merupakan satu pakej yang menampilkan elemen dan karakter sukan permotoran yang disuntik ke dalam kenderaan pemanduan seharian.

 

S: Bagaimana tugas baharu ini berkaitrapat dengan pencapaian bertahun-tahun di dalam sukan permotoran dan industri automotif?


J: Saya telah pun berada di dalam industri untuk tempoh yang agak lama, dan perbezaannya, saya bukan sekadar seorang pelumba, akan tetapi berpeluang untuk melakukan pelbagai kerja-kerja kejuruteraan serta penambahbaikan produk.

Tugas saya pada ketika ini adalah untuk menyuntik elemen GR ke dalam produk tempatan yang telah dibangunkan, dan anda akan melihat lebih banyak varian GR Sport pada masa akan datang.

Tahun demi tahun, kereta merupakan sekadar peralatan untuk kita bergerak dari Titik A ke Titik B, dan apa yang diperkenalkan oleh Toyota pada ketika ini adalah untuk menyuntik kembali elemen pemanduan yang lebih menyeronokkan walaupun ia sebuah kenderaan yang direka untuk pemanduan seharian.

 

S: Apakah yang bakal diharapkan daripada pemilik berpotensi terhadap kenderaan berjenama GR? Apakah keistimewaan sebuah kenderaan GR?


J: Sebuah kenderaan GR berada di kedudukan tertinggi jenama, di mana ia mempunyai DNA perlumbaan dan rali dengan kelengkapan dan teknologi, serta keupayaan untuk bertahan di bawah persekitaran dan kehendak sukan permotoran yang serba mencabar.

Ia merupakan manifestasi usaha Toyota dalam membawakan kemajuan di dalam sukan permotoran dengan kehendak daripada pasaran pelanggan, dan Toyota sememangnya berjaya melakukan usaha yang terbaik.

Jika anda melihat GR Yaris sebagai contoh, ia merupakan sebuah kereta homologasi khas dengan kelengkapan yang luar biasa untuk kekal kompetitif di dalam World Rally Championship.

Terlalu banyak parameter khas yang diperlukan untuk dipenuhi dalam usaha untuk menjadikannya sebagai sebuah jentera rali yang mampu bersaing di dalam kejuaraan WRC.

GR Yaris sebuah jentera yang unik, pemanduan yang hebat, casis yang sangat lincah dan mempunyai karakter yang tersendiri, dan sangat neutral ketika mengambil selekoh - kesemua aspek ini benar-benar di luar jangkaan!

 

S: Apakah cabaran yang dihadapi dalam memperkenalkan produk baharu, dan apakah kelebihan yang ada pada GR?


J: Produk GR pada ketika ini termasuklah Supra dan Yaris, serta Vios GR-Sport yang lebih bersemangat, namun lebih penting ia lebih mudah diakses oleh golongan kebanyakan.

Apa yang anda dapat lihat dan rasakan daripada kenderaan yang disebutkan itu tadi adalah elemen sukan permotoran yang kuat didapati pada kedua-dua model (Yaris dan Supra), serta model asas dalam memberikan satu pakej lengkap kepada pemandu - penggayaan, peningkatan terhadap trenkuasa, peningkatan casis, ergonomik, pakej rim dan tayar dsb - dan ia bukan sekadar memasang kit badan semata-mata.

Hasil akhir adalah lebih tertumpu kepada sebuah produk yang lebih fokus dan sporti, dan di dalam kes Vios GR-Sport, ia masih lagi sesuai digunakan sebagai kenderaan seharian dan dalam masa yang sama menawarkan pemanduan yang sporti.

 

S: Apakah kenderaan GR kegemaran peribadi anda, dan kenapa?

J: GR Yaris. Ia benar-benar sebuah pakej yang cukup lengkap, pengendalian yang baik, nisbah gear yang tepat, sangat lincah, karakter yang neutral ketika mengambil selekoh, pantas, serta sistem pacuan semua roda yang menawarkan kadar cengkaman yang lebih baik.

Jika anda berkesempatan melayari internet, anda akan dapat melihat pelbagai syarikat talaan hadir dengan kit tersendiri untuk GR Yaris yang membawa maksud model asas ini memiliki potensi yang cukup banyak.

 

S: Untuk mereka yang tidak tahu, apa itu Toyota Vios GR-S?


J: Terdapat dua elemen yang dimuatkan ke dalam Vios GR-S - trenkuasa, serta pengendalian kenderaan (ride and handling). Vios GR-S hadir dengan sistem transmisi CVT 10 nisbah kelajuan yang mampu beroperasi dengan baik bersama-sama enjin 1.5 liter.

Selain daripada itu, talaan turut diberikan kepada spring dan peredam yang memberikan keseimbangan yang baik untuk pemanduan seharian, jarak kelegaan tanah yang memadai, dan dalam masa yang sama menawarkan kawalan olengan badan yang baik.

Saya juga memiliki sebuah model asas Vios, dan secara peribadi anda akan merasi perbezaan yang ketara apabila beralih daripada sebuah Vios yang asas kepada Vios GR-Sport.

Pada mulanya, saya sendiri merasakan saiz rim 17 inci dan tayar itu terlalu besar, namun dengan kombinasi tayar yang lebar memberikan lebih kadar cengkaman tanpa mengorbankan prestasi di garis lurus.

Vios GR-Sport merupakan satu gandingan yang cukup baik untuk menjadi sebuah kenderaan yang sesuai dipandu seharian dan dalam masa yang sama memiliki personaliti yang sporti - ia mengingatkan saya kepada model-model khas seperti contoh Proton Satria GTi.

Ia mempunyai pakej penggayaan, prestasi dan kelengkapan yang dipertingkat, dan ini sesuatu yang jarang didapati pada sesebuah kenderaan yang keluar secara terus dari pusat pameran.

 

S: Apakah perbezaan antara Vios GR-Sport berbanding jentera lumba Vios Challenge, memandangkan Vios GR-Sport itu sendiri merupakan tribut kepada siri perlumbaan Vios Challenge. Apakah elemen yang dibawakan terhadap Vios GR Sport?


J: Kedua-dua kereta (Vios GR Sport dan jentera lumba Vios Challenge) memiliki perbezaan yang ketara dari segi komponen dan tujuan.

Anda harus faham bahawa anda tidak boleh mempunyai konsep perlumbaan di dalam sebuah kereta pemanduan seharian, di mana setiap produk mempunyai focus dan hala tuju yang tersendiri.

Fokus Vios GR-Sport ternyata berbeza - pelanggan memilih Vios GR Sport untuk bergerak dan bukannya berlumba - dan anda tidak dapat mengorbankan elemen pemanduan di dalam kereta tersebut.

Secara asasnya, intipati GAZOO Racing adalah serupa untuk kedua-dua Vios GR Sport dan jentera lumba Vios, namun salah satunya dikhususkan untuk pasaran massa dan sebuah lagi merupakan binaan khusus untuk para pelumba.

Fokusnya mungkin berbeza namun hasil akhirnya adalah sama, di mana anda masih mampu menikmati pemanduan yang ditawarkan bergantung kepada tujuan yang dinyatakan.

 

S: Apakah perbezaan ketara yang dialami sewaktu memandu Vios GR Sport di dalam bandar?


J: Vios GR Sport masih lagi mempunyai ciri keselesaan yang ada pada Vios ditambah dengan pemanduan yang sporti serta elemen GR seperti contoh tempat duduk sports, tetapan suspensi, dan respons enjin yang lebih pantas.

Walaupun anda hanya memandu untuk keluar ke kedai berdekatan mencari roti, ia masih lagi mampu mengukirkan senyuman pada wajah anda.

Tidak kira apa jua kelajuan yang dihadapi, saya dapat merasakan Vios GR Sport ini berkomunikasi dengan anda.

GR Supra memiliki ciri ini, GR Yaris pula lebih banyak berinteraksi dan tidak dilupakan Toyota 86 - ia merupakan satu cara yang unik di mana kereta mampu berkomunikasi dengan anda.

 

S: Adakah peranan sebagai Duta GR memberikan tekanan tambahan sewaktu berlumba di dalam Vios Challenge musim ini?

J: Orang ramai kerap bertanyakan soal tekanan, namun tugas saya sebagai Duta GR lebih daripada sekadar berlumba di hujung minggu. Untuk dapat berlumba bersama pelumba yang lain di dalam grid merupakan satu perasaan yang baik, dan Vios Challenge pada ketika ini merupakan siri perlumbaan yang terbaik dan kompetitif di Malaysia.

Ia bukanlah sekadar berjalan di dalam taman, akan tetapi sebagai seorang pelumba, kami bertempur untuk mencapai kemenangan dan mengutip mata kejuaraan yang berharga.

Saya telah pun mendapat peluang untuk meraih gelaran juara keseluruhan sebanyak dua kali, dan sudah tentu saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai gelaran ketiga.


S: Bagaimana anda mengekalkan semangat berdaya saing sebagai seorang pelumba selama ini? Apakah yang diperlukan untuk melangkah lebih jauh?


J: Saya fikir, ia adalah semangat dahagakan perlumbaan dan untuk menjadi lebih baik. Jika anda sekadar duduk dan tidak berkembang, sudah pasti anda akan ketinggalan di belakang, dan sudah bertahun lamanya saya cuba untuk memahami pelbagai jenis format perlumbaan.

Pada pendapat peribadi, ia merupakan satu kelebihan untuk mempunyai pengalaman berlumba di dalam litar, sukan rali dan sukan drift di mana setiap satunya memerlukan disiplin dan set kemahiran yang berbeza.

Dengan memiliki pengalaman yang luas, saya suka untuk mencampur dan memadankan ilmu pengetahuan daripada pelbagai skil yang berbeza dan menggunakannya ketika perlu.

Perlumbaan juga memerlukan keupayaan untuk kekal fokus - anda perlu kuat secara mental dalam usaha untuk mencapai catatan masa yang konsisten pusingan demi pusingan, dan ia bukan satu perkara yang mudah.

Dari segi kekuatan dan kecergasan fizikal, saya lebih gemar melakukan aktiviti seperti bersukan, bermain papan luncur dan berjoging tatkala anak-anak saya berbasikal - ia merupakan satu latihan yang sangat baik.

Kebiasannya, saya menghabiskan masa selama 90 minit melakukan aktiviti fizikal, namun tidak semestinya saya perlu berlatih di dalam gim.
 

S: Sejauh manakah penglibatan GAZOO Racing di dalam sukan permotoran Malaysia?


J: Pada saya, GAZOO Racing telah berjaya membawakan sukan permotoran kepada rakyat jelata. Tidak banyak litar lumba yang boleh didapati di dalam Malaysia, hanya satu litar untuk 14 buah negeri dan itu adalah tidak masuk akal.

Apa yang Toyota cuba lakukan adalah untuk mencipta sebuah pameran sukan permotoran bergerak, dan anda boleh lihat sendiri sambutan yang ditunjukkan oleh para peminat dan penonton yang hadir di setiap lokasi.

Format perlumbaan one-make Vios Challenge ini juga sangat baik di mana ia mempromosikan perlumbaan yang kompetitif - spesifikasi kereta adalah sama dan ia bergantung sepenuhnya kepada skil pemanduan individu.

Selain daripada itu, Toyota juga turut melabur di dalam program pembangunan bakat muda dan kita kini boleh melihat pelumba-pelumba yang mula beralih daripada go-kart dan simulasi kepada berlumba di dalam kereta saloon dan ini telah mencipta satu laluan kerjaya di dalam sukan permotoran yang memberikan manfaat kepada semua.

Secara keseluruhan, konsep yang dibawakan oleh Toyota GAZOO Racing Festival di Malaysia ini bukan sahaja mempamerkan elemen sukan permotoran di dalam Toyota, akan tetapi ia memberikan satu platform khusus buat kami pelumba, mekanik dan pasukan untuk terus bersinar.


S: Apakah peranan anda di dalam pembangunan bakat-bakat baharu dan pelumba muda?


J: Di dalam Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing, tugas saya adalah untuk melatih pelumba muda yang mula beralih daripada go-kart dan simulator kepada pemanduan kereta saloon sebenar.

Dari pemerhatian, kesemua bakat muda ini dipilih atas satu sebab - mereka mempunyai kepantasan dan kemampuan. Apa yang diperlukan adalah masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu.

Ini merupakan satu perkara yang cukup hebat di mana Toyota sendiri melabur di dalam bidang ini dan ia mencipta satu ekosistem yang menjanjikan untuk sukan permotoran di Malaysia bergerak ke hadapan.

 

S: Apakah asas dan bagaimana pentingnya untuk mencapai keseimbangan antara kuasa dan pengendalian di dalam kenderaan?

J: Ini merupakan satu perkara yang sukar untuk disamakan. Secara asasnya, ketidakseimbangan berlaku apabila anda mula mendapati diri terlalu kerap menekan pendikit minyak, atau terlalu banyak putaran roda yang mengganggu kadar cengkaman.

Setiap kategori kenderaan (penumpang, kereta sports, supercar, hypercar) mempunyai senibina yang akan menentukan seberapa jauh anda boleh memaksa kenderaan dari segi kuasa dan kadar cengkaman.

Untuk kenderaan produksi massa pemanduan seharian, 90 peratus daripada kenderaan itu direka sebagai kenderaan pacuan roda hadapan dan senibina kenderaan itu hanya membenarkan julat kuasa tertentu yang boleh diterima oleh sesebuah kereta.

Jika anda mampu memandu kenderaan dalam kuasa yang optimum secara selesa, ia merupakan satu petunjuk kadar keseimbangan yang baik antara kuasa dan pengendalian.

Sudah pasti, setiap orang memiliki skil pemanduan yang berbeza.