Tenaga solar, Tesla PowerWall, Renault ZOE - Gaya hidup masa hadapan

oleh Mohamad Hanif|
Pengenalan peranti moden seperti penggunaan panel tenaga solar, kenderaan elektrik dan peranti storan tenaga merupakan satu revolusi terbaharu bagi menunjukkan potensi gaya hidup sebenar pada masa akan datang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, yang pasti, kehidupan keluarga dari West Sussex ini berubah apabila ketua keluarganya, Warren Phillips membuat keputusan untuk mengadaptasi ketiga-tiga alatan moden ini di bawah satu bumbung. 
 

Keluarga Phillips ini merupakan antara keluarga pertama yang mengamalkan kehidupan moden serba baharu dengan menggunakan kombinasi tenaga solar, peranti storan tenaga elektrik serta kenderaan elektrik untuk kegunaan seharian. 

Pada tahun 2015, Phillips mengambil keputusan untuk memasang 22 buah panel solar bagi menjana tenaga untuk kegunaan rumah mereka.
 


Pemasangan 22 buah panel solar tersebut menghasilkan lebih daripada 40 kWh pada musim panas - lebih banyak berbanding kadar kegunaan normal sebanyak 14 kWh - membuatkan Phillips terfikir sesuatu. 

Tenaga yang berlebihan akan dieksport kembali kepada grid nasional oleh kerana mereka ketiadaan alat untuk menyimpan lebihan tenaga yang dijana melalui panel solar tersebut. 

Walaupun pihak Kerajaan masa kini membayar lebihan tenaga tersebut, Phillips mendapati mereka terpaksa bergantung kepada sistem grid ketika waktu puncak, dan mereka mahu mengelakkan keadaan tersebut kerap berlaku. 

Solusinya? Tesla Powerwall. 
 


Ketika pengenalan generasi terawal, Tesla Powerwall tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi bagi kegunaan keluarga seharian. 

Akan tetapi, ketika Tesla Powerwall 2 menjengah pasaran, kapasiti yang ditawarkan (13.5 kWh) serta inverter terbina dalam menarik perhatian keluarga Phillips untuk menggunakan peranti tersebut. 

Terima kasih kepada Tesla Powerwall, Phillips memberitahu mereka hanya bergantung kepada tenaga solar semata-mata untuk menjana elektrik kegunaan di rumah. 

Hanya hari-hari tertentu seperti keadaan mendung mereka terpaksa menggunakan tenaga daripada sistem grid nasional, namun kadar penggunaan adalah tidak sebanyak dahulu. 
 


Bagi tujuan pengangkutan seharian seperti ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan membeli belah, keluarga Phillips memilih untuk menggunakan sebuah Renault ZOE menggantikan Ford Fiesta mereka.

Walaupun mereka mengimpikan Tesla Model X sebagai kenderaan impian, akan tetapi kombinasi yang mereka ada pada masa kini adalah mencukupi dan mendekati tahap sempurna untuk kegunaan seharian. 

Ternyata pelaburan awal yang dilakukan oleh Phillips amat berbaloi kerana ia bukan sekadar penjimatan yang dimahukan oleh mereka. 

"Saya ingin menunjukkan kepada umum bahawa (penukaran sistem) ini amat senang, dan semua orang mampu melakukannya," ujar Phillips. 

 


Kini, kediaman keluarga ini menjadi tumpuan umum dan ada kalanya menerima kunjungan pelawat sebagai satu cara mempromosikan kehidupan serba moden ini. 

Tenaga solar, kenderaan elektrik, dan peranti storan tenaga. Ini merupakan masa hadapan kehidupan kita. Bukan pad penjimat elektrik mengarut mahupun kad penjimat petrol. Harap maaf.

sumber: AutoExpress UK