Terima sogokan, tiga ditahan termasuk seorang pegawai JPJ

oleh Mohamad Hanif|
Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan isterinya bersama seorang lagi lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi, selepas disyaki meminta dan menerima sogokan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kakitangan awam berkenaan yang berusia 38 tahun ditahan di Felda Jelai 3, Gemas, Tampin, kira-kira jam 10.30 malam tadi bersama isterinya yang juga berusia 38 tahun.

Manakala seorang lagi lelaki berusia 28 tahun ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini, jam 11.10 malam tadi.

Pegawai JPJ Negeri Sembilan itu dan lelaki berkenaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima sogokan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Syed Farid Syed Ali, hari ini.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim.

Isteri kepada pegawai JPJ terbabit turut direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, semua suspek ditahan dalam Ops Kargo dilakukan Pusat Operasi Perisikan (POP) Zon Tengah, Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM.

Difahamkan, pegawai JPJ berkenaan disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM300 hingga RM2,500 sebulan daripada pemilik syarikat dan individu melalui orang tengah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Isteri pegawai JPJ terbabit serta seorang lelaki itu pula disyaki turut terbabit dalam jenayah yang dilakukan daripada 2016 hingga tahun 2021.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber: Harian Metro