Terkejut punya pasal, pasangan kekasih dikejar 10 MPV Polis

oleh Mohamad Hanif|
Sepasang kekasih berjaya ditahan pihak polis selepas adegan kejar-mengejar di Lebuhraya Utara-Selatan, menurut laporan Sinar Harian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kejadian tersebut berlaku jam 11.30 malam semasa anggota polis ternampak sebuah kereta jenis Proton Persona dalam keadaan mencurigakan di kawasan rekreasi Adda Height.  

Suspek yang dikatakan sedang berdua-duaan dengan kekasihnya itu cuba melarikan diri setelah mendapati ada kereta peronda polis menghampiri mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, enam buah Unit Kereta Peronda (MPV) dari JBS dan empat unit MPV dari IPD Johor Bahru Utara (JBU) terlibat mengejar suspek sehingga ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam, pada malam Selasa.

"Semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek terus mengundurkan kereta dan melanggar kereta MPV polis serta melarikan diri.

 


"Berlaku aksi mengejar sehingga suspek berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam. Suspek ditahan terdiri daripada pemandu lelaki tempatan berusia 20 tahun dan wanita berusia 18 tahun.

"Hasil soal siasat awal mendapati kedua suspek melarikan diri kerana sedang berdua-duaan dalam kereta dan terkejut apabila melihat kereta peronda MPV polis menghampiri kenderaan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Menurut Raub, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua suspek tiada kes jenayah atau kes berkaitan dadah.

"Polis turut merampas Proton Persona yang digunakan suspek, telefon bimbit dan wang tunai RM168. Kedua-dua suspek direman empat hari bermula Rabu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu)," katanya.

Sebelum itu, dua video masing-masing berdurasi seminit 24 saat dan 10 saat memaparkan beberapa kenderaan MPV polis dengan siren yang dibunyikan sepanjang jalan sedang mengejar sebuah kereta Persona di Jalan Skudai tular di media sosial.

Sumber: Sinar Harian