Menurut Anthony Loke, TBG dibangunkan bagi memenuhi objektif Dasar Pembangunan Negara 2019–2030 yang memberi penekanan kepada kemudahan serta keselesaan rakyat. Terminal ini beroperasi 24 jam sebagai hab pengangkutan darat bersepadu dengan sambungan terus ke Stesen LRT Gombak (Laluan Kelana Jaya) serta Stesen ECRL Gombak yang sedang dibina.
“TBG bukan sekadar terminal bas biasa, tetapi sebuah kemudahan bertaraf antarabangsa yang menjadi pintu masuk utama ke Pantai Timur. Apabila ECRL siap kelak, ia bakal mengukuhkan lagi kesalinghubungan antara Koridor Barat dan Koridor Timur,” katanya.
Terminal setinggi tujuh tingkat itu dibangunkan dengan kos RM307.4 juta melalui model Build-Lease-Maintain-Operate-Transfer (BLMOT). Ia dikendalikan oleh syarikat konsesi TEGAS selama 25 tahun sebelum diserahkan kembali kepada kerajaan. TBG mempunyai 125 petak bas, mampu mengendalikan sehingga 700 trip sehari dengan kapasiti 25,000 penumpang, serta dilengkapi ruang komersial.
Sejak mula beroperasi pada 5 Mac lalu, sebanyak 30 pengendali bas ekspres telah memulakan perkhidmatan di terminal ini dengan purata 3,000 trip sebulan. Antara kemudahan utama yang disediakan termasuk Central Ticketing System (CTS) mesra pengguna, Terminal Operation System (TOS) yang memantau pergerakan masa nyata, serta konsep Transit-Oriented Development (TOD) yang menggabungkan pengangkutan, perniagaan dan gaya hidup.
TBG turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Gred A bagi tahap perkhidmatan terminal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada tahun ini.
“Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin TBG akan menjadi bukti bahawa pengangkutan awam Malaysia bukan sahaja setanding, malah mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujar Loke.
Beliau turut menekankan harapan agar TBG bukan sahaja menjadi hab moden, tetapi juga model pembangunan mampan yang dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon negara.