Terowong SMART berjaya lencong lima juta meter padu air

oleh Mohamad Hanif|
Terowong Lebuhraya SMART mencatatkan rekod tersendiri apabila diaktifkan selama kira-kira 22 jam, bagi melencongkan air Sungai Klang yang naik susulan hujan lebat berterusan semalam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang, berkata dalam tempoh berkenaan, Terowong SMART yang dibina dengan kos melebihi RM1 bilion itu, telah melencongkan lima juta meter padu air sejak diaktifkan pada 1.32 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini.

Beliau berkata, ia merupakan rekod baharu untuk kawalan lencongan Terowong SMART kerana sejak 2007, sebanyak lapan kali lencongan dibuat dan di setiap operasi hanya merekodkan kira-kira tiga jam operasi.

“Namun, untuk lencongan kali kesembilan ini, sejak semalam sehingga 12 tengah hari tadi, operasi ini diadakan selama kira-kira 22 jam kerana intensiti hujan yang sangat tinggi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor,” katanya pada sidang media di pejabat operasi Terowong SMART di sini.

Zaini berkata, berdasarkan perkiraan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jika lima juta meter padu air tidak dialirkan keluar, kawasan di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur seperti di kawasan Masjid Jamek akan mengalami banjir besar.
 

SMART


“Selain Terowong SMART, aset-aset JPS di sekitar Kuala Lumpur seperti rumah pam juga telah dioperasikan secara maksimum sejak semalam. Oleh itu, walaupun hujan lebat dan Empangan Batu melepaskan air dengan bukaan 300mm atau 20% pada pukul 11.15 pagi tadi, hanya berlaku banjir-banjir kecil sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan aset, Zaini berkata, aset-aset JPS di sekitar ibu negara juga telah dioperasikan secara maksimum.

Sementara itu, SMART (Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd) dalam kenyataan memberitahu lima juta meter padu air telah berjaya dilencongkan dari Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Kolam Takungan Taman Desa.

“Proses pengepaman keluar air ke hilir sungai masih belum dapat dijalankan kerana keadaan paras air sungai yang masih tinggi di bahagian hilir sistem SMART.

“Pihak SMART memohon pengguna agar bersabar serta memberi kerjasama dan perhatian mengenai pengumuman status operasi Terowong Lebuhraya SMART yang akan disiarkan melalui penghebahan media dan papan maklumat elektronik (VMS),” menurut kenyataan itu.

Sumber: Free Malaysia Today

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ia merupakan antara cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian…