Terowong SMART mungkin akan dibina di Shah Alam - laporan

oleh Mohamad Hanif|
Sebagai langkah jangka panjang penyelesaian masalah banjir, bandar-bandar berkepadatan tinggi seperti Shah Alam bakal dilengkapi dengan sistem Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia merupakan antara cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

KASA juga turut mencadangkan untuk mewujudkan kawasan takungan air atau 'kota takungan pinggir sungai' seperti di Belanda.

 "Mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh KASA untuk menyelesaikan masalah banjir antaranya, pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisiko banjir ke kawasan yang lebih tinggi; mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan; meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

"(Turut dicadangkan) membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan serta sistem amaran awal banjir lumpur; menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang usang; mengawal penebangan hutan dan pemberian kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira risiko banjir," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat itu juga bersetuju terhadap cadangan untuk mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) tetap dilengkapi kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah serta kawasan sekolah berasrama yang dijadikan PPS akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.

Ismail Sabri berkata, pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.

KASA turut mencadangkan supaya sungai-sungai utama dinaiktaraf, didalam dan dilebarkan; benteng dan ban sungai serta parit ditinggikan; dan membina lebih banyak tebatan banjir.

Selain itu, turut dicadangkan adalah pembinaan empangan dan stesen pintu kawalan air bagi mengawal kenaikan paras air.

"Penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar membabitkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir," katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang, berkata dalam tempoh berkenaan,…