Sewaktu sedang melayari Facebook (FB), katanya, dia terpandang iklan jualan lelong motosikal dengan harga murah di platform media sosial itu.
"Sekitar tengah hari itu, saya terlihat di FB ada tawaran jualan lelong motosikal murah. Apabila tekan gambar motosikal yang tertera ia akan terus bawa ke pautan satu kumpulan Telegram, Fast Lelong.
"Antara yang ada, harga RM3,000 tertera diiklankan untuk motosikal Yamaha Y15ZR buatan tahun 2020. Saya tengok harganya saya tertarik sebab boleh dikatakan rendah.
"Apabila sudah tertarik, saya terus WhatsApp secara peribadi dengan admin (pihak pengurusan platform) bertanyakan motosikal itu ada lagi ke? Dia kata ada lagi dan harganya RM3,000 dan jika mahu segera pindahkan bayaran menerusi nombor akaun diberikannya," katanya.
Menurutnya, pengendali mengarahkannya supaya turut memberikan butiran diri termasuk nama penuh dan alamat untuk urusan geran motosikal lengkap tukar nama.
Katanya, tanpa berfikir panjang dia terus menuruti segala arahan itu sebab bimbang motosikal idamannya itu akan disambar pembeli lain.
Selesai proses itu, Kamalul berkata, tidak lama kemudian pengendali berkenaan menghantar WhatsApp memintanya lakukan pemindahan RM3,000 lagi sebagai urusan dan proses pelelongan.
"Untuk pemindahan wang RM3,000 yang kali kedua itu katanya dalam masa 10 minit akan pulangkan semula wang itu.
"Apabila disuruh melakukan pemindahan wang kali kedua, saya rasa sangsi. Saya sudah masukkan RM3,000 dan tiba-tiba mahu lagi. Saya cakap kepadanya, saya mana ada duit nak bagi lagi.
"Saya ada RM3,000 itu saja. Dia cakap, cubalah cari di mana-mana, pinjam kawan ke...saya kata mana ada kawan tiba-tiba nak bagi pinjam RM3,000," katanya.
Beliau berkata, oleh kerana kejadian itu kebetulan terjadi ketika dia sedang minum di sebuah restoran berhampiran Balai Polis Pinggiran USJ, jadi dia segera ke balai polis berkenaan.
Menurutnya, apabila meminta pandangan polis di situ, dia 'disekolahkan' kerana terlalu mudah terpedaya dengan aktiviti scam dalam talian.
"Anggota polis yang saya temui berkata sudah banyak kali polis nasihat supaya berhati-hati dengan penipuan dalam talian, dan ingatan itu selalu diuar-uarkan di media massa.
"Tetapi ada lagi mangsa seperti saya kena tipu dengan modus operandi hampir sama kononnya dapat untung harga murah...mana ada Y15ZR berharga RM3,000," katanya.
Apa pun, katanya, dia reda dengan kejadian itu dan enggan membuat laporan polis secara rasmi kerana tidak mahu terganggu urusan hariannya dengan kemungkinan turun naik mahkamah.
"Lagipun wang RM3,000 yang hangus itu adalah 'duit terpijak'. Biarlah ia jadi rezeki orang itu.
"Tetapi saya minta orang ramai berhati-hati dengan sindiket jualan lelong motosikal murah di media sosial yang sebenarnya saya rasa tak ada pun motosikalnya," katanya.
- peringatan untuk semua, jangan mudah terpedaya -