Teruk dan terbiar dalam semak, Jaguar E-Type ini kembali sempurna

oleh Muhammad Md Tajudin|
Menyaksikan kereta ikonik ditemui di dalam bangsal, garaj atau semak mengundang seribu satu pertanyaan. Siapakah pemilik asal? Bagaimana boleh terdampar di situ dan apakah sejarah di sebaliknya? Kisah penemuan begini sememangnya mengujakan.

Unit begini ada yang berakhir di meja bidaan dalam keadaan asal dan lazimnya banyak dibaik pulih semula seperti baru keluar kilang. Melihat proses transformasi daripada keadaan terbiar sehingga berkilat seperti cermin adalah suatu momen indah.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Jaguar E-type Series 1 4.2 RHD FHC kembali sempurna oleh bengkel E-Type UK

 

Ini satu lagi penemuan berharga iaitu Jaguar E-type Series 1 4.2 unit produksi kesepuluh dengan pemanduan sebelah kanan (RHD FHC). Unit ini ditemui di kawasan semak di ladang Gloucestershire, England.

Proses pemuliharaan model tahun 1964 ini dilaksanakan oleh E-Type UK, pakar yang mengkhususkan dalam kerja baik pulih Jaguar E-Type. Pusat yang ditubuhkan pada tahun 2008 ini bukan sahaja melakukan kerja baik pulih tetapi turut merangkumi jualan, penyelenggaraan dan naik taraf model Jaguar E-Type.

Sejurus ditarik keluar, unit ini dibawa untuk kerja-kerja membaik pulih total di bengkel E-Type UK. Keadaannya memang teruk dengan keseluruhan badan tidak boleh diselamatkan dek kerana terdedah selama tiga dekad.

Di sebalik keadaan yang teruk tersebut, unit ini masih berada di dalam keadaan asal dengan nombor running gears (komponen yang tidak mengawal kuasa; rangka dll) yang sepadan, suspensi bebas belakang (IRS) dan unit suspensi.

 

 Jaguar E-type Series 1 4.2 RHD FHC kembali sempurna oleh bengkel E-Type UK

 

Bengkel E-Type UK merasa bertanggungjawab untuk mengembalikan semula nilai ikonik kereta sport ini dan seterusnya melaksanakan kerja-kerja rumit bagi membolehkan ia berada semula di atas jalan.

Berikut ialah proses baik pulih Jaguar E-type Series 1 4.2:

  • Kesemua komponen kecuali buku log asli, running-gear dan suspensi bebas belakang terpaksa disumber dari luar atau dibina semula dengan tangan
  • Sementara lantai, bahagian depan dan belakang ditemui, staf bengkel memberi perhatian kepada panel kereta dan memasangnya menggunakan jig penjajaran badan khas
  • Pihak bengkel juga terpaksa mencari bumbung dan pintu belakang (tailgate) gantian dan kemudian dipasang dengan bahagian dalam dan luar panel tiang C yang dibuat khas
  • Selepas kerangka badan serta garisan dan jurang disempurnakan, unit ini dihantar untuk kerja-kerja mengecat dengan pilihan warna Opalescent Silver Grey. Kerja menggilap (polish) memakan masa 60 jam untuk hasil sempurna
  • Bahagian dalam diperbaharui dengan papan pemuka, elektronik, kerusi kulit hitam, meter dan kotak pedal yang kesemuanya disumber dari luar atau dibina semula oleh staf dalaman 
  • Kebanyakan komponen enjin langsung tidak boleh digunakan kecuali beberapa yang telah diperbaiki untuk mengekalkan keaslian kereta 
  • Penutup cam dan kepada silinder asal telah digosok semula (machine-polished) dengan hasil yang lebih baik daripada keluaran kilang setengah dekad lalu

 

 Jaguar E-type Series 1 4.2 RHD FHC kembali sempurna oleh bengkel E-Type UK

 

Selain kerja-kerja baik pulih, pihak bengkel E-Type UK mengubahsuai enjin 4.2 liter kereta ini dengan memasang aci high-lift dan engkol yang diseimbang dan diringankan serta kotak gear lima kelajuan. 

Enjin itu dipadankan dengan ekzos sport tahan karat dan manifold tubular yang menghasilkan irama bunyi mengasyikkan. 

Hasil baik pulih Jaguar E-type yang asalnya ditemui di dalam semak dan pengubahsuaian menjadikannya sebuah kereta klasik dengan ciri-ciri moden dan relevan untuk berpuluh-puluh tahun lagi.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

 Jaguar E-type Series 1 4.2 RHD FHC kembali sempurna oleh bengkel E-Type UK