Tesla dan BYD - Teknologi bateri mana lebih baik?

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, teknologi bateri kenderaan elektrik (EV) telah mengalami revolusi besar.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Persaingan dalam penghasilkan teknologi bateri juga kini dilihat semakin sengit dengan keupayaan bateri EV yang sudah menyaingi atau bahkan mengatasi kenderaan petrol.

Dalam persaingan inovasi, dua syarikat gergasi, Tesla dan BYD dilihat mengambil pendekatan berbeza dalam membangunkan bateri EV.

Tesla memperkenalkan bateri 4680, yang berbentuk silinder dan menekankan prestasi tinggi serta kepadatan tenaga maksimum.

 

2

 

Sebaliknya, BYD Blade menggunakan sel prismatik lithium iron phosphate (LFP), yang lebih menitikberatkan keselamatan, ketahanan, dan kos yang lebih rendah.

Pasukan penyelidik dari RWTH Aachen University, Jerman, diketuai oleh Jonas Gorsch, telah membedah kedua-dua bateri tersebut untuk menganalisis struktur, bahan, dan prestasi elektrik.

Kajian itu melibatkan teknik seperti mikroskop elektron (SEM), analisis termogravimetri (TGA), dan ujian rintangan elektrik.

 

Tesla 4680: Kuasa dan Kecekapan Tinggi

Bateri Tesla 4680 menggunakan reka bentuk silinder (46 mm diameter, 80 mm panjang) dengan konfigurasi "jelly roll", di mana lapisan elektrod dililit ketat.

Hasilnya, ia mencapai kepadatan tenaga 241 Wh/kg dan 643 Wh/l, jauh lebih tinggi berbanding BYD Blade (160 Wh/kg dan 355 Wh/l)yang menjadikan bateri Tesla lebih ringan dan kompak untuk kapasiti tenaga yang sama.

Namun, bateri itu lebih mahal kerana menggunakan katod berasaskan nikel, di mana kosnya lebih tinggi berbanding bahan LFP dalam BYD Blade.

Selain itu, rintangan dalaman yang lebih tinggi dalam bateri Tesla menghasilkan haba yang lebih banyak, di mana ianya menjejaskan pengecasan pantas dan ketahanan jangka panjang.

 

2

 

 

BYD Blade: Murah, Selamat, dan Tahan Lama

Bateri BYD Blade pula berbentuk prismatik (90 mm tinggi, 965 mm panjang, 14 mm tebal) dengan konfigurasi "Z-folded", memberikan kestabilan mekanikal yang lebih baik.

Walaupun mempunyai kepadatan tenaga lebih rendah, bateri itu lebih tahan haba dan kurang risiko terbakar kerana teknologi LFP yang lebih stabil.

Dari segi kos, BYD Blade mempunyai kelebihan RM44/kWh lebih murah berbanding Tesla 4680 kerana bahan seperti besi dan fosfat lebih mudah diperoleh berbanding nikel dan kobalt.

Ini menjadikannya pilihan lebih sesuai untuk kenderaan EV bajet dan penggunaan komersial.

 

4

 

Secara keseluruhan, Tesla 4680 sesuai untuk kenderaan mewah dan berprestasi tinggi, manakala BYD Blade lebih sesuai untuk kenderaan komersial dan pasaran massa yang memerlukan ketahanan dan keselamatan lebih tinggi.

Persoalannya bukanlah bateri mana yang lebih baik, tetapi mana yang lebih sesuai untuk jenis kenderaan tertentu.

Sumber: Laporan kajian penuh Cell Reports Physical Science melalui ZME Science

 

 

Berita Berkenaan

Informasi
Perbezaan stesen Charging vs Swap Bateri Penjimatan masa dan penjagaan bateri menjadi punca…
Berita Global
Versi terbaru standard keselamatan bateri tersebut diumumkan pada 28 Mac 2025 dan membawa perubahan…
Berita Global
Project V direka untuk memenuhi keperluan pemanduan prestasi tinggi, dengan output kuasa sehingga…