Tesla Diner: Dari Hype Hollywood ke Realiti Pahit

oleh Qalif Latif|
Hanya dua minggu selepas pembukaan rasmi Tesla Diner di Hollywood pada 21 Julai 2025, projek gimik besar Elon Musk ini sudah berdepan cabaran serius. Apa yang asalnya digembar-gemburkan sebagai gabungan stesen pengecas elektrik dan restoran retro-futuristik kini kelihatan goyah, dengan menu terpaksa dipotong besar-besaran serta kontroversi bertimpa-timpa.
JAECOO Q4 MREC Banner Campaign November Starting: 3rd Nov

Menu Yang Dipendekkan Drastik

Pada awal pembukaan, Tesla Diner menawarkan pelbagai pilihan termasuk biskut bersama kuah, waffle “all-day breakfast”, cinnamon roll, salad, club sandwich, cookies, dan soft serve. Namun, sejak 5 Ogos lalu, hanya tinggal lima jenis sandwich, dua pilihan side, dua perisa pai, milkshake, serta minuman ringan.

Tesla Dinner

Antara hidangan popular yang digugurkan termasuk Epic Bacon, veggie patty, biskut kuah merah, dan chocolate chip cookies. Malah waffle kini hanya dijual pada waktu pagi, tidak lagi sepanjang hari. Chef Eric Greenspan menjelaskan langkah ini dibuat kerana permintaan luar biasa menyebabkan operasi jadi kelam-kabut. Beliau berjanji menu akan “berevolusi” dan hidangan tertentu akan muncul sebagai menu khas dari semasa ke semasa.

Operasi Terhad & Kontroversi Awal

Walaupun dipasarkan sebagai restoran 24 jam, Tesla Diner kini hanya beroperasi dari jam 6 pagi hingga tengah malam, kecuali untuk pemilik Tesla yang mengecas sambil membuat pesanan dari dalam kereta. Kenderaan bukan Tesla dilaporkan tidak dibenarkan mengecas di kawasan tersebut.

Tesla Diner

Sejak minggu pertama, Tesla Diner juga dihujani kritikan dan protes daripada penduduk setempat. Skrin digital setinggi 40 kaki dilaporkan menghalang pemandangan balkoni apartmen berdekatan, manakala insiden meja jatuh mencederakan seorang wanita serta hampir mengenai bayinya menyebabkan Tesla berdepan kemungkinan saman.

 

Tesla Diner
Robot Tesla juga turut menerima kritikan, dilaporkan kerap tidak beroperasi walaupun restoran Tesla Diner dalam waktu operasi.

 

Ulasan pengkritik restoran New York Times, Tejal Rao, turut tidak membantu reputasi Tesla Diner. Beliau menyifatkan hot dog yang dihidangkan “layu”, burger yang dipadatkan dengan alat khas Tesla “tidak menonjol”, manakala popcorn robot Optimus yang diwar-warkan pula langsung tidak kelihatan.

Tesla Dinner

Hanya Satu Lokasi Beroperasi

Setakat ini, hanya satu cawangan Tesla Diner beroperasi iaitu di Hollywood. Elon Musk sudah mengumumkan rancangan untuk membuka lokasi kedua di Starbase, Texas, tetapi ia masih dalam peringkat perancangan. Ini bermakna projek Tesla Diner masih dalam fasa percubaan, belum terbukti boleh berkembang secara besar-besaran.

Tesla Diner

Kenapa Tesla Wujudkan Tesla Diner?

Tesla Diner bukan diwujudkan untuk bersaing terus dengan rangkaian fast food gergasi seperti McDonald’s atau In-N-Out. Sebaliknya, matlamatnya lebih strategik:

  • Mengisi masa ketika mengecas EV. Proses pengecasan walaupun menggunakan Supercharger tetap mengambil masa, jadi makanan & hiburan menjadi “pengisi masa” yang berbaloi.

  • Membina pengalaman gaya hidup Tesla. Sama seperti Apple dengan Apple Store atau Starbucks dengan konsep lifestyle café, Tesla cuba menjadikan jenamanya lebih daripada sekadar automotif.

  • Menjadi destinasi tarikan. Tesla Diner bukan sekadar tempat makan, tetapi juga mercu tanda unik yang memperkukuh imej Tesla sebagai syarikat inovatif.

Siapa Sebenarnya Pesaing Tesla Diner?

Tesla Diner bukan diwujudkan untuk berlawan terus dengan rangkaian fast food gergasi seperti McDonald’s, In-N-Out atau Shake Shack. Ia sebenarnya dicipta untuk menggugat konsep stesen minyak + convenience store.

  • Stesen minyak tradisional (Shell, Chevron, Petron dsb.) biasanya ada mart atau kedai makanan ringan. Tesla nak tawarkan versi lebih premium: pemilik EV boleh mengecas, order makanan terus dari skrin Tesla, dan lepak di ruang retro-futuristik.

  • Pada masa sama, Tesla Diner cuba meniru konsep “brand experience” ala Starbucks atau Apple Store tempat orang datang bukan sekadar untuk produk, tapi untuk ambience dan gaya hidup.

Dalam kata lain, Tesla Diner bukan cuba jadi “rival burger joint”, tapi nak cipta kategori baharu: stesen pengecas EV yang jadi destinasi sosial dan hiburan.

Antara Gimik & Realiti

Sejarah Tesla sarat dengan pelancaran produk tertunda atau isu kualiti Cybertruck, Roadster generasi kedua serta sistem Full Self-Driving antara contohnya. Kini, percubaan mereka dalam dunia kulinari memperlihatkan corak yang sama: hype besar diikuti masalah operasi.

Sama ada Tesla Diner mampu bertahan sebagai ikon baharu gaya hidup pemilik EV, atau sekadar gimik sekali lalu yang “habis bateri” sebelum sempat berkembang, masih menjadi persoalan utama.