Tesla kekalkan harga EV walaupun pengecualian cukai tamat

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Tesla Malaysia akan terus menawarkan kesemua model kenderaannya pada harga permulaan yang diperkenalkan pada 2025 walaupun pengecualian cukai jalan kenderaan elektrik (EV) tamat pada 31 Disember lalu.

Dalam kenyataan pada Selasa, Tesla Malaysia mengulangi komitmennya terhadap Malaysia sebagai pasaran penting dalam misi global mempercepatkan peralihan kepada tenaga lestari, selain menegaskan tumpuan berterusan terhadap akses dan pengalaman pelanggan.

Model sedan Model 3 kekal ditawarkan pada harga permulaan RM169,000, manakala Model Y terus dijual pada harga serendah RM195,450 seunit. Penawaran berkenaan disokong oleh pelaburan syarikat dalam memperluas kemudahan pengecasan di seluruh negara bagi memudahkan penggunaan EV secara meluas.

Sebagai sebahagian sokongan kepada inisiatif hijau kerajaan, Tesla turut melabur untuk mengembangkan rangkaian dan infrastruktur pengecasannya di Malaysia. Ketika ini, syarikat mengendalikan 18 stesen pengecasan super serta 17 lokasi pengecasan dengan keseluruhan 76 pengecas super dan 79 pengecas destinasi yang menyokong perjalanan jarak jauh serta keperluan harian, termasuk pilihan pengecasan di rumah.

Menurut Tesla, lebih banyak stesen pengecasan akan dibuka dalam masa terdekat bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan menyeluruh kepada pengguna.

Sementara itu, kenderaan EV yang diimport sepenuhnya atau CBU kekal dikecualikan daripada duti import dan duti eksais sehingga 31 Disember 2025.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Dasar baharu ini didedahkan oleh portal automotif InsideEVs, susulan perkongsian pempengaruh Tesla…
Berita Global
Keputusan itu dibuat hampir dua tahun selepas Mahkamah Chancery Delaware membatalkan pakej pampasan…
Berita Global
Reka Bentuk & Pendekatan Kejuruteraan Paddle ini direka menggunakan pendekatan kejuruteraan…