Menurut laporan terkini, unit yang dihasilkan ini dipercayai masih dalam fasa awal atau pilot build, bukannya versi produksi penuh untuk pelanggan. Walaupun begitu, ia tetap memberi gambaran bahawa pembangunan Cybercab bergerak lebih cepat daripada jangkaan asal.
Cybercab Pertama Keluar Dari Kilang Texas
Tesla berkongsi gambar pasukan di kilang Giga Texas yang mengelilingi Cybercab pertama, menandakan model tersebut sudah pun dibina secara fizikal. Ini menarik perhatian kerana sebelum ini Musk pernah memberi bayangan bahawa pengeluaran mungkin hanya bermula sekitar April.
Namun, setakat ini masih belum ada garis masa jelas untuk produksi berskala besar. Apa yang pasti, langkah ini dianggap milestone penting bagi Tesla yang sering dikaitkan dengan perubahan jadual pelancaran.

Sasaran Harga Bawah $30,000 Sebelum 2027
Dalam masa sama, Musk sekali lagi mengulangi sasaran harga Cybercab versi pengguna pada bawah USD30,000, bersamaan kira-kira RM 142,000.00. Sasaran ini sebenarnya pernah menjadi topik hangat selepas YouTuber teknologi terkenal Marques Brownlee (MKBHD) membuat taruhan akan mencukur kepala jika Tesla berjaya melancarkan model tersebut pada harga berkenaan sebelum 2027.
Selepas gambar milestone tersebut tular, Musk dilihat memberi respon santai di media sosial dengan ayat ringkas “Gonna happen”, sekali gus menghidupkan semula perbincangan mengenai taruhan tersebut.


Cabaran Regulasi Masih Jadi Halangan Utama
Walaupun Cybercab sudah mula dibina, cabaran sebenar mungkin bukan pada aspek teknikal semata-mata. Model ini dirancang sebagai kenderaan autonomi penuh tanpa stereng atau pedal, sesuatu yang masih berada dalam zon kelabu dari segi undang-undang.
Di Amerika Syarikat, piawaian keselamatan kenderaan persekutuan masih menganggap kehadiran pemandu manusia sebagai asas. Ini bermaksud Tesla mungkin perlu mendapatkan pengecualian khas daripada pihak berkuasa seperti NHTSA sebelum Cybercab boleh digunakan di jalan raya awam.
Malah, beberapa negeri juga berpotensi menetapkan syarat tambahan yang boleh melambatkan pelaksanaan konsep robotaxi sepenuhnya.
Langkah Awal Yang Penting, Tapi Perjalanan Masih Panjang
Secara keseluruhan, pengeluaran unit pertama Cybercab memang satu berita besar buat Tesla, namun ia bukan bermaksud model ini sudah bersedia untuk pelanggan. Banyak perkara masih perlu diselesaikan termasuk kelulusan undang-undang, polisi insurans serta kesediaan infrastruktur.
Jika Tesla benar-benar berjaya menepati sasaran harga bawah USD30,000 menjelang 2027, Cybercab bukan sahaja boleh mengubah landskap ride-hailing, malah berpotensi menggoncang pasaran EV global dengan konsep mobiliti autonomi yang lebih mampu milik.