Bagi memperingati detik ini, Tesla melancarkan Tesla 10,000 Delivery Week yang berlangsung sehingga 30 September 2025. Sepanjang tempoh ini, pelanggan baharu akan diraikan dengan pelbagai aktiviti eksklusif di lokasi utama Tesla seperti Cyberjaya Experience Centre, Johor Service Centre dan Penang Service Centre.
Antara tarikan yang disediakan termasuk perjalanan interaktif menggunakan kad cop yang menawarkan ganjaran, persembahan Tesla Light Show dengan cahaya dan muzik berirama, serta photobooth khas bersama robot humanoid Optimus. Pelanggan yang membuat tempahan Model 3 atau Model Y antara 23 hingga 28 September turut menerima pin enamel edisi terhad Tesla sebagai kenangan.
Kemuncak acara akan berlangsung pada Sabtu, 28 September 2025, di mana Tesla menggalakkan pemilik baharu membawa keluarga dan rakan-rakan ke hari penghantaran. Aktiviti termasuk pandu uji model Tesla dan bengkel membuat terrarium turut disediakan, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna untuk seisi keluarga.
Selain itu, Tesla Malaysia turut membuka pop-up store di The Waterfront @ Park City dan Aeon Tebrau, Johor, bagi memberi peluang orang ramai merasai pengalaman pemanduan elektrik dengan lebih dekat.
Pencapaian 10,000 penghantaran ini turut memperkukuh komitmen Tesla dalam membangunkan infrastruktur pengecasan di Malaysia. Sehingga kini, Tesla telah mengendalikan 16 lokasi Destination Charging dengan 73 pengecas serta 15 lokasi Supercharging dengan 68 pengecas di seluruh negara. Malah, lebih 8,000 isi rumah di Malaysia kini menikmati kemudahan pengecasan rumah percuma yang ditawarkan Tesla.
Tesla menyifatkan pencapaian ini sebagai penghargaan buat komuniti pemilik Tesla di Malaysia, selain mengajak lebih ramai rakyat tempatan menyertai revolusi kenderaan elektrik yang sedang berkembang pesat.