TGR Racing Malaysia Bakal Berlumba Dengan GR Supra GT4 EV02 Dalam Thailand Super Series 2026

oleh Danial Yasin Suhaimi|
UMW Toyota Motor membuka lembaran baharu dalam dunia sukan permotoran tempatan apabila mengumumkan penubuhan pasukan perlumbaan TGR Racing Malaysia yang bakal bersaing dalam kategori GT4 bagi musim 2026 Thailand Super Series.

Penyertaan itu menandakan langkah penting Toyota Malaysia untuk mengembangkan penglibatan mereka dalam perlumbaan GT di peringkat serantau.

Penubuhan pasukan tersebut juga merupakan evolusi kepada program sukan permotoran yang telah dibina melalui Toyota GAZOO Racing Vios Challenge sejak tahun 2017. 

Sepanjang lapan musim penganjurannya, kejohanan one-make tersebut berjaya menjadi platform pembangunan bakat pemandu tempatan serta meningkatkan kepakaran teknikal dan operasi perlumbaan dalam kalangan pasukan tempatan.

 

2

 

Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K., penubuhan TGR Racing Malaysia mencerminkan evolusi seterusnya bagi jenama Toyota Gazoo Racing di Malaysia. 

Beliau menjelaskan bahawa bagi Toyota, budaya perlumbaan bukan sekadar aktiviti kompetitif, tetapi merupakan sebahagian daripada falsafah untuk meningkatkan mutu dan prestasi produk.

Penyertaan dalam kelas GT4 membuka peluang kepada pasukan untuk bersaing dalam kejohanan yang dikawal selia secara profesional di peringkat serantau. 

Kategori GT4 yang diperkenalkan oleh SRO Motorsports Group menggunakan jentera berasaskan model pengeluaran pengeluar yang disahkan mengikut piawaian teknikal ketat. 

 

3

 

Pelaksanaan sistem Balance of Performance (BoP) pula memastikan persaingan yang lebih seimbang antara pengeluar berbeza, sekali gus menjadikan setiap perlumbaan lebih kompetitif.

Bagi musim pertama penyertaan ini, TGR Racing Malaysia akan mempertaruhkan barisan pelumba tempatan yang terdiri daripada Shaun Thong, Weiron Tan, Nazim Azman dan Putera Adam. 

Mereka akan dibantu oleh kru teknikal dan operasi berpengalaman dari Malaysia dan Jepun yang mempunyai pengalaman luas dalam perlumbaan peringkat tertinggi.

Di litar, pasukan itu akan menggunakan dua jentera Toyota GR Supra GT4 EVO2 yang dibangunkan oleh Toyota Gazoo Racing Europe di bawah program perlumbaan pelanggan global Toyota. 

 

5

 

Versi EVO2 menerima beberapa penambahbaikan penting termasuk peningkatan prestasi sistem brek, talaan penyerap hentak yang diperhalusi untuk kestabilan lebih baik serta penambahbaikan pada sistem penyejukan dan kalibrasi ABS bagi kawalan yang lebih meyakinkan di litar.

Kejohanan Thailand Super Series dipilih kerana struktur teknikalnya yang komprehensif serta format perlumbaan yang tersusun mengikut peraturan GT4 antarabangsa. 

Kejohanan itu dianjurkan oleh Thailand Super Series Co., Ltd. dengan pengiktirafan daripada Royal Automobile Association of Thailand di bawah peraturan Fédération Internationale de l'Automobile. 

Selain GT4, kejohanan tersebut turut menampilkan beberapa kategori lain termasuk GT3, GTM dan jentera Endurance.

Untuk musim sulung ini, TGR Racing Malaysia akan memberi fokus kepada proses pembelajaran dan pembangunan secara berperingkat. 

 

6

 

Pendekatan itu membolehkan pasukan membina asas teknikal dan operasi yang kukuh sebelum muncul sebagai pencabar utama dalam siri perlumbaan tersebut pada masa akan datang.

Kalendar musim 2026 akan bermula dengan ujian pramusim pada 22 hingga 23 April di Chang International Circuit, diikuti pusingan pembukaan pada 21 hingga 24 Mei di litar yang sama. 

Pusingan kedua akan berlangsung dari 1 hingga 5 Julai sempena ulang tahun ke-20 Bangsaen Grand Prix di Chonburi.

Selepas itu, saingan akan beralih ke Malaysia apabila pusingan ketiga dan keempat berlangsung di Sepang International Circuit masing-masing pada 21 hingga 23 Ogos serta 18 hingga 20 September, sebelum musim perlumbaan menutup tirai kembali di Chang International Circuit dari 30 Oktober hingga 1 November.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Walaupun berdepan persekitaran pasaran yang semakin kompetitif, UMWT terus mengekalkan…
Berita Domestik
Jualan bulan Disember 2025 sahaja mencatatkan 14,284 unit, mencerminkan momentum kukuh sehingga ke…
Informasi
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K, berkata kekuatan Toyota terletak pada kemampuannya…