Perkembangan ini susulan pertemuan PM Srettha Thavisin dengan CEO Formula 1, Stefano Domenicali di Rumah Kerajaan pada Mei lalu.
Penganjur perlumbaan kini sedang meneroka kemungkinan menganjurkan perlumbaan di Thailand dan menilai lokasi yang berpotensi, termasuk tapak lain yang mungkin berhampiran U-Tapao.
Menurut media Bangkok Post, Srettha telah bertemu penganjur F1 di Itali dan berkata beliau berharap pembinaan litar perlumbaan F1 akan dimulakan berhampiran lapangan terbang U-Tapao di wilayah Rayong dalam tempoh tiga atau empat tahun.
Srettha memberitahu pemberita bahawa Thailand memerlukan acara sukan antarabangsa untuk meningkatkan pelancongan, dan kerajaan mahu negara itu menjadi venue Kejohanan Dunia Formula Satu.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Chatchai Phromlert, pengerusi PTT Plc, dan Kavin Kanjanapas, presiden BTS Group Holdings Plc.
Beliau menjemput kedua-dua individu itu bersama kerana beliau menjangkakan PTT akan menaja pembinaan litar baharu itu dan BTS Group Holdings adalah pemegang konsesi kawasan luas lapangan terbang U-Tapao.
Perdana menteri berkata delegasinya mendapat respons positif daripada Kumpulan Formula 1.
"Saya percaya kami dan penganjur sama-sama mahu (ini) berlaku. Saya yakin akan ada berita baik dalam beberapa bulan," kata Srettha.
Mungkin ada acara F1 dan F2 di trek, dan juga acara untuk pelumba muda, katanya.
Butiran mendalam masih belum dibincangkan, tetapi kerajaan akan bersedia untuk memulakan pembinaan litar itu pada 2027 atau selewat-lewatnya 2028, kata perdana menteri.
Penilaian jumlah hasil yang akan dijana Formula Satu untuk Thailand belum dijalankan, kata PM Srettha.
Untuk memberi gambaran berapa harganya, beliau berkata tiket VIP ke acara itu berharga antara 5,000 dan 8,000 dolar AS setiap orang manakala aliran pendapatan lain akan datang daripada penaja, jualan makanan pada acara itu dan pelancongan.
Semasa lawatan Kumpulan Formula 1 ke Thailand bulan lepas, Srettha berbincang dengan Stefano Domenicali kemungkinan untuk menganjurkan perlumbaan F1 di negara itu.
Stefano turut berharap untuk bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi merealisasikan perlumbaan F1 di negara itu.
SUMBER : BangkokPost, X Thai Enquirer