Thailand paling bersedia untuk kenderaan elektrik - Pakar automotif

oleh HEZERI SAMSURI|
Thailand ialah negara paling bersedia untuk memulakan penggunaan kenderaan bertenaga elektrik (EV) di ASEAN.

Menurut Jamie Morais, Pengurus Besar untuk bahagian operasi pengedar bagi Nissan Motor Asia Pasifik, kerajaan Thailand mempunyai polisi-polisi automotif yang tidak berpihak kepada mana-mana syarikat kenderaan dan ia mempromosikan aktiviti pemasangan tempatan (CKD) dan juga usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jamie yang sudah dua tahun bertugas di Thailand sebenarnya pernah bekerja dengan syarikat-syarikat automotif di Malaysia. Beliau yang memang anak Malaysia kini pulang bercuti kerana COVID19.

Menurut pendapat beliau, Dasar Automotif Negara tidak cukup kuat dan hanya dipenuhi dengan konsep-konsep tanpa pelan tindakan yang realistik.

Ini ditambah lagi dengan tenaga buruh yang lebih mahal dari Thailand, menjadikan Malaysia kurang kompetitif. 

"Walaupun pekerja Malaysia mempunyai kemahiran yang tinggi, sayang sekali mereka tidak mempunyai set minda yang bagus.

Ini jelas terbukti apabila saya melakukan lawatan-lawatan ke pusat-pusat servis di semua pasaran Asia Pasifik dan melihat prestasi kerja masing-masing," terang Jamie.

 

 

"Saya tidak terkejut kenapa pekerja-pekerja yang bagus di Malaysia sanggup lari ke Singapura atau ke Australia," tambahnya.

Jamie kemudiannya menyentuh berkaitan pasaran automotif di Australia. Menurutnya, kebanyakan pekerja kolar biru di bengkel-bengkel Australia adalah terdiri dari rakyat Asia, samada dari Malaysia, Filipina atau Vietnam.

"Industri automotif di Australia memang semakin malap. Kesemua kenderaan di sana adalah diimport masuk (CBU) dan pasaran sana sudah kurang berminat dengan kereta."

Pengguna di Australia hanya membeli kenderaan kerana mereka mereka perlukannya, dan semakin ramai yang lebih berminat untuk menggunakan skim "leasing" (pajak) berbanding dari membeli kenderaan.

 

 

"Vietnam ialah satu kuasa baharu yang bakal muncul dalam dunia automotif Asean.

Ia mempunyai polisi yang hampir sama dengan Thailand. Tenaga buruh juga murah dan pekerja-pekerja Vietnam mempunyai sikap yang baik. Mereka bekerja keras dan berdisiplin," kata Jamie sambil berkata pekerja Vietnam mempunyai sikap positif seperti pekerja-pekerja dari China.

Indonesia juga tidak boleh dipandang rendah kerana polisi EV untuk ibunegara baharunya sangat menarik.

Jamie juga mengingatkan bahawa kerajaan Indonesia memang berminat dengan kenderaan EV dan ini dibuktikan dengan cadangan pembelian kenderaan-kenderaan EV dalam jumlah yang besar untuk kegunaan polis dan jabatan-jabatan kerajaan di sana.

Jamie bagaimanapun kecewa dengan Singapura kerana kerajaan di negara itu tidak membuat inisiatif yang lebih tinggi untuk kenderaan EV berbanding kenderaan biasa (ICE).

 

 

Filipina menurut Jamie mempunyai masalah tenaga buruh seperti Malaysia.

"Pekerja di Filipina mempunyai set minda yang lemah dalam kualiti dan pekerjaan walaupun mempunyai pengetahuan yang tinggi.

Pekerja Filipina yang berkemahiran tinggi akan ke negara timur tengah atau ke Singapura dan Australia untuk bekerja di sana," tambahnya.

"Filipina mempunyai pasaran yang kecil tetapi berpotensi tinggi, tetapi jika mereka tidak ubah pemikiran pekerja, industri automotif di sana tidak akan berkembang banyak," sambung Jamie menghabiskan sesi temuduga kami melalui Whatsapp.

Mungkin akan ada yang marah dengan pendapat Jamie ini tetapi cuba kita duduk dan fikirkan sejenak.

Lebih kurang 30 tahun dahulu, Malaysia adalah negara termaju di dalam bidang automotif di Asean.

Lebih kurang 20 tahun dahulu, syarikat kenderaan nasional nombor satu kita hanya gelak tertawa bila saya tanyakan bagaimana kita harus menangani kemajuan negara China dan Korea.

Lebih kurang tiga tahun dahulu, siapa yang sudah kena beli dengan siapa? 

 

 

Sudah lebih 20 tahun menulis untuk industri automotif, saya megaku kadang-kadang muak untuk mendengar rancangan-rancangan yang sama seperti yang pernah saya dengar dahulu.

Di Malaysia, perkembangan sesuatu industri nampaknya terlalu bergantung kepada tuan Menteri, dan masalahnya, mereka menjadi menteri bukan kerana pengalaman profesional, tetapi kerana menang undi.

Kementerian perlu ditadbir oleh mereka yang terbukti berpengalaman di dalam industri ini dan dibantu oleh mereka yang mungkin sudah bertugsas di peringkat global kerana mereka mampu melihat negara di skala yang lebih besar.

Dan mungkin juga kita sudah perlu lebih banyak bermuhasabah dari terus menepuk dada selama bertahun-tahun? 

Wallahuallam.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Borang TM6 ialah kad ketibaan/berlepas, yang mana warga asing perlu mengisi maklumat pasport mereka…
Informasi
Jadi perkara yang disyorkan adalah untuk mengambil insurans Thailand iaitu Insurans Wajib (Ci),…
Berita Global
Mungkin jika disebut mengenai motosikal elektrik, pasti dalam fikiran, bahawa motosikal itu tidak…