Theon Design - GBR001, Porsche 911 badan karbon, 390bhp, berat hanya 1,163kg

oleh Muhammad Md Tajudin|
Theon Design - GBR001
Theon Design - GBR001
Melihat hasil kerja Porsche klasik yang dibaik pulih memang menggiurkan.

Satu daripada syarikat yang mempunyai mutu kerja menarik ialah Theon Design dari Oxfordshire, United Kingdom (UK).

Pada Oktober lalu Careta pernah memaparkan sebuah 911 (964) yang dibuat Theon Design untuk pelanggan dari Chile.

Terbaru Theon Design berkongsi projek 911 (964) yang disiapkan untuk pelanggan pertama dari UK dengan warna Slate Grey sama seperti 911 Steven McQueen dalam filem Le Mans.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Theon Design - GBR001

 

Fokus Theon Design ialah 911 (964) dan projek terbaru ini menggunakan model C4 1990. Perkakasan kereta ditanggal sehingga rangka besi sebelum kerja baik pulih dimulakan.

Kesemua panel badan kereta dibuat dari karbon kecuali pintu yang kekal dengan besi untuk perlindungan impak sisi.

Setiap panel kereta dibuat dalam bentuk digital dan dimodelkan dalam perisian reka bentuk tiga dimensi untuk padanan yang sempurna.

Panel karbon memberi manfaat dari segi ketegaran yang lebih tinggi dan semestinya ringan. Berat GBR001 dengan bendalir hanya 1,163 kilogram (kg).

 

Theon Design - GBR001

 

Satu lagi yang menarik Theon Design menggunakan pendawaian spesifikasi ketenteraan dan lebih ringan.

Pemampat penyaman udara baharu dan pam stereng kuasa elektrik dipindah ke depan kereta dan dipasang ke bawah untuk mengoptimumkan pembahagian berat.

Menggerakkan objek seni ini ialah enjin 3.8 liter flat six yang menghasilkan 390bhp pada 7,350 rpm dan tork 393Nm. Ngauman enjin disambut ekzos saduran seramik 

Dengan nisbah lebih 100bhp per liter, GBR001 merupakan hasil kerja Theon yang paling berkuasa setakat ini.

 

Theon Design - GBR001

 

Enjin GBR001 dipadan dengan kotak gear enam kelajuan Hewland dan memacu roda belakang. Tukaran gear dibuat pemandu melalui tombol gear RS.

Membelah jalan raya, kehadiran GBR001 dirasai dengan kemasukan udara trumpet gaya terbuka dan dilengkapi badan pendikit yang dibuat dengan kerjasama Jenvey.

Syarikat itu turut berada di Lembah Permotoran UK seperti Theon Design. Sistem pencucuhan baharu meningkatkan kuasa enjin sebanyak lima peratus.

Roda tenaga (flywheel) tunggal memastikan enjin flat six GBR001 mempunyai tindak balas cemerlang.

 

Theon Design - GBR001

 

Sistem pengurusan enjin talaan Theon pula memastikan kereta berkelakuan sopan ketika dipandu sehari-hari. 

Tema Porsche Motorsport sedia ada diteruskan dengan brek Besar dan Merah 964.

Membantu dalam pengendalian ialah pembeza gelinciran terhad (LSD) Wavetrac® Torsen.

Badan klasik namun dilengkapi perkakasan ampaian canggih. GBR001 dipasang sistem redaman boleh suai TracTive Active Controlled Electronics (ACE) dengan lima larasan.

 

Theon Design - GBR001

 

Tetapan suspensi dibuat teliti supaya dapat beraksi dengan sempurna.

Menjengah ke bahagian dalam, perkakasan asal diperbaharui dengan kerusi Recaro dan balutan kulit Phantom di merata tempat termasuk alang pintu dan terowong transmisi.

Satu lagi yang jelas ialah Pek Dalaman Aluminium Theon yang dibuat seperti perkakasan plastik Porsche era-90an.

Menggunakan bahan baharu, kualiti dan kemasan nampak lebih mewah. Stereng yang cantik pula asalnya dari 911 baharu.

 

Theon Design - GBR001

 

Untuk halwa telinga, Theon memasang set radio gaya klasik dengan fungsi radio DAB dan sambungan Bluetooth.

Perkakasan audio terdiri daripada amplifier Focal dan enam pembesar suara selain melayani bunyi enjin flat six.

Berapa harga untuk hasil kerja sebegini? Theon tidak memaklumkannya kecuali setiap projek bermula daripada 380,000 pound (RM2,197,595) dan 18 bulan untuk disiapkan.

Harga itu tidak termasuk kereta asal, penghantaran dan cukai setempat.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Theon Design - GBR001