Tiada lesen memandu kesalahan paling tinggi

oleh Hamimah Hamid|
TIADA lesen memandu masih menjadi kesalahan utama dikesan paling banyak dilakukan pengguna jalan raya ketika Op Pengarah Jpj Perak di bandaraya Ipoh malam tadi.

Dalam tempoh hanya dua jam operasi yang bermula pukul 9 malam itu, hampir 70 saman dikeluarkan mmbabitkan kesalahan tiada lesen memandu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, pihaknya memandang serius kesalahan terbabit dan akan melakukan operasi secara berterusan bagi menimbulkan persepsi bimbang ditahan (perception of being caught) dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Saya memberi amaran bahawa kami amat serius untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pengguna jalan raya yang ditahan atas kesalahan ini.

“Jadi saya berharap dan saya menegaskan supaya mereka mengambil lesen bagi memastikan pengguna-pengguna jalan raya yng lain selamat,” katanya.

pengarah jpj perak memeriksa lesen kenderaan bermotor

Menurut Mohammad Yusoff,  dalam operasi berakhir pukul 11 malam itu, cukai jalan tamat tempoh turut menjadi kesalahan popular yang dikesan paling banyak dilakukan pengguna jalan raya dengan lebih 50 saman dikeluarkan.

Selain itu katanya, operasi JPJ berkenaan juga memberi fokus kepada kesalahan nombor pendaftaran, penggunaan cermin gelap, ubah suai kenderaan serta kesalahan teknikal lain.

Jelas beliau, lebih 300 kenderaan diperiksa dalam operasi yang melibatkan 66 pegawai jpj, empat pegawai polis, enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta 11 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu.

Sementara itu mengulas mengenai tempoh moratorium lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang akan berakhir 30Jjun ini, Mohammad Yusoff mengingatkan orang ramai untuk mengambil peluang dalam tempoh berbaki 15 hari untuk segera membuat pembaharuan.

Katanya, selain kaunter JPJ pembayaran juga boleh dibuat di Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan MyEG secara dalam talian.