Tidak pamer nombor plat depan, pemilik Chiron Super Sport 300+ kena saman RM567 di London

oleh Mohamad Hanif|
Sesetengah kereta atau supercar pantas memang nampak lebih 'cool' kalau tidak langsung mempamerkan nombor plat pendaftaran di bahagian hadapan.

Akan tetapi, peraturan tetap peraturan biarpun kereta anda berharga empat juta dollar Amerika sekalipun.

Di bandar London, seorang pemilik Bugatti Chiron Super Sport 300+ telah ditahan oleh pihak berkuasa atas kesalahan tidak mempamerkan nombor plat pendaftaran di bahagian hadapan.

Nilai saman yang dikenakan hanyalah sekitar £100 (RM567) sahaja, tidak luak pun duit jika dibandingkan dengan nilai sebenar kereta pantas yang dihasilkan sebanyak 30 unit terhad ini.

Bugatti Chiron Super Sport 300+ berjaya mencapai kelajuan tertinggi sepantas 482.8 km/j, terima kasih kepada nadi 8.0 liter W16 yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,600 hp.

Untuk tujuan keselamatan, had laju Chiron Super Sport 300+ ini dihadkan kepada 440 km/j secara elektronik, dan boleh dinyahkuncikan ketika berada di litar ujian Ehra-Lessien, Jerman.

Namun setakat untuk pemanduan santai di bandar London, ia tidak akan menyebabkan nombor plat anda tercabut dengan sewenang-wenangnya.